MBSB Bank lantik Mohamed Rafe sebagai CEO Kumpulan berkuat kuasa 1 Julai 2023 | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank lantik Mohamed Rafe sebagai CEO Kumpulan berkuat kuasa 1 Julai 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jun - Malaysia Building Society Berhad (MBSB) telah melantik Mohamed Rafe Mohamed Haneef sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulannya yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2023.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan perbankan itu berkata, pelantikan ini adalah sebahagian daripada pelan strategiknya berikutan cadangan pengambilalihan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), yang mana MBSB akan berkhidmat sebagai syarikat induk bagi kumpulan yang diperbesarkan itu.

 

"Dengan pelantikan baharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Nor Azam M Taib, akan diselaraskan semula peranannya.

 

"Bermula dari tarikh yang sama, beliau akan menumpukan pada tanggungjawabnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Bhd. Keputusan strategik ini membolehkan pendekatan lebih fokus, memastikan kepimpinan berkesan dalam kedua-dua entiti Kumpulan MBSB," katanya.

 

Mohamed Rafe berpengalaman luas memegang jawatan perniagaan dan fungsi utama dalam tiga bank global, sebuah syarikat pengurusan aset antarabangsa dan firma guaman.

 

Beliau mempunyai pengkhususan dalam perbankan Islam dalam 15 terakhir kerjayanya selama 20 tahun dan telah bekerja di pasaran kewangan utama termasuk London, Dubai dan Kuala Lumpur.

 

Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan ijazah Sarjana dalam Kewangan Antarabangsa dan Undang-undang Sekuriti dari Harvard Law School, Amerika Syarikat.

 

Mohamed Rafe juga merupakan ahli Malaysian Bar dan New York State Bar, serta wakil sekuriti berdaftar SFA di United Kingdom. - DagangNews.com