MBSB Bank, PTPTN lancar e-dompet untuk transaksi simpanan dan bayaran balik pinjaman | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank, PTPTN lancar e-dompet untuk transaksi simpanan dan bayaran balik pinjaman

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalin kerjasama strategik untuk menyediakan kemudahan transaksi digital untuk para pelanggan membuat simpanan dan bayaran balik pinjaman menerusi e-dompet MBSB. 

 

Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan peminjam PTPTN akan dapat menikmati kemudahan untuk membuat simpanan atau pembayaran balik pinjaman dengan mudah menerusi e-dompet MBSB Bank. 

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib, pihaknya ingin meluaskan penggunaan dompet digital kepada pendeposit Simpan SSPN dan peminjam PTPTN dengan menyediakan perkhidmatan simpanan dan pembayaran balik pinjaman PTPTN melalui e-dompet MBSB Bank.

 

"Bagi memudahkan lagi mereka, pendeposit Simpan SSPN boleh membuat simpanan ke dalam akaun Simpan SSPN melalui e-dompet MBSB Bank tanpa perlu membuka akaun simpanan dengan MBSB Bank. 

 

"e-dompet MBSB Bank merupakan dompet digital aplikasi mudah alih patuh syariah yang pertama di Malaysia yang ditawarkan oleh MBSB Bank," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, MBSB Bank dan PTPTN memeterai memorandum persefahaman (MoU) hari ini bertempat di Menara MBSB Bank, PJ Sentral di Petaling Jaya, Selangor.

 

Majlis menandatangani MoU tersebut telah disempurnakan oleh Nor Azam manakala PTPTN pula diwakili Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

 

 

mbsb
Datuk Nor Azam M. Taib (kiri) bersama Ahmad Dasuki Abdul Majid ketika majlis menandatangani MoU antara MBSB Bank dan PTPTN di Menara MBSB, PJ Sentral pada 6 Oktober 2022.

 

 

mbsb

 

 

MoU yang dimeterai oleh MBSB Bank dan PTPTN juga bertujuan untuk mewujudkan kerjasama bagi menjalankan kolaborasi strategik dalam pembudayaan simpanan pendidikan, pengurusan kewangan, program-program promosi dan pemerkasaan komuniti. 

 

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berkata, PTPTN sentiasa menyambut baik kerjasama dengan agensi kerajaan mahupun swasta bagi memperkasakan perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung (E2E). 

 

"Objektif kami adalah untuk terus menambah baik perkhidmatan PTPTN kepada masyarakat melalui teknologi pendigitalan dan kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan MBSB Bank sebagai satu lagi usaha positif ke arah memperkasakan PTPTN yang lebih dinamik dan cemerlang.

 

“Saya amat berharap dengan pemeteraian MoU ini akan merancakkan bidang-bidang kerjasama yang sedia ada antara kedua-dua pihak di samping menjana kerjasama baharu yang bakal memberikan impak dan manfaat kepada kesejahteraan masyarakat," katanya.

 

Kerjasama itu diharapkan dapat menyemai lebih kesedaran menabung dan mendidik literasi kewangan secara digital yang baik dalam kalangan masyarakat. 

 

e-dompet MBSB Bank boleh dimuat turun ke semua telefon pintar melalui applikasi Apple Store dan Google Play. Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.mbsbbank.com.

 

Sementara itu, selaras dengan usaha berterusan untuk memperkukuhkan ekosistem digital, MBSB Bank turut mengumumkan laman web ‘M Journey Virtual Branch’ yang baharu. 

 

Ia kini sedia dilawati dan direkabentuk untuk lebih interaktif, mesra pengguna dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan. Untuk pengalaman perbankan secara maya yang lengkap, mudah lagi menarik, sila layari https://mjourney.mbsbbank.com. - DagangNews.com