KUALA LUMPUR 27 Sept - Seramai 17 pemenang bertuah diberi penghargaan pada majlis penyampaian hadiah kempen Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0 CASA-i (SBMB 2.0) anjuran MBSB Bank Bhd di MYDIN Mall, Mutiara Rini, Johor Bahru, baru-baru ini.
Peserta bertuah berasal dari Tebrau, Johor, Lai Thong Fat menjadi pemenang utama kempen SBMB 2.0 yang membawa pulang sebuah kereta mewah berjenama Mercedes Benz GLC 300 AMG.
Manakala Tang Sim Cheow dan Tho Yah Sek masing-masing memenangi pakej percutian ke Eropah dan Sim Peck Lim memenangi alat memasak moden, Thermomix.
Selain itu, peserta kempen, Tang Yoke Jing memenangi sebuah telefon pintar iPhone 14 dan Fatimah Mohamed Lajim berjaya membawa pulang sebuah basikal lipat Croze Pro.
Sokongan yang berterusan oleh peserta Yeo Soon Hock dan Mahindran a/l V. Duraisami telah membuahkan hasil yang mana masing-masing membawa pulang mesin urut OSIM dan kad Petronas, sementara lapan lagi peserta bertuah membawa pulang Wafer Emas Habib Jewels.
Menurut Ketua Saluran Pengagihan Cawangan MBSB Bank, Mohd Izham Ahmad berkata, pihaknya amat bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh para pelanggan terhadap SBMB 2.0.
Katanya, kempen ini membuka peluang untuk pihaknya meraikan kesetiaan serta kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan menerusi hadiah-hadiah mewah dan menarik.
"Adalah harapan kami untuk terus menawarkan kemudahan kewangan serta kempen-kempen yang menawan dan berlandaskan konsep syariah untuk dinikmati oleh para pelanggan MBSB Bank" katanya dalam kenyataan media di sini.
Kempen SBMB 2.0 mendapat sambutan orang ramai bukan sahaja kerana hadiah-hadiah yang ditawarkan, tetapi kerana cara penyertaan kempen yang mudah.
Peserta hanya perlu membuka Akaun Simpanan atau Akaun Semasa Primewin-i dengan menempatkan deposit minimum sebanyak RM100 untuk melayakkan diri memenangi cabutan bertuah.
Antara hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan adalah pakej percutian ke Eropah, pakej ibadah umrah, beberapa buah kereta mewah Mercedes Benz GLC300 e Coupe AMG Line, Mercedes Benz C200, Mercedes Benz A200, Thermomix, iPhone 14, basikal lipat Croze Pro, Wafer Emas Habib Jewels serta Kad Hadiah Petronas.
Kempen SBMB 2.0 yang bermula pada 1 September 2022 dan berakhir pada 31 Mei 2023 mempunyai lapan Kategori Cabutan iaitu Bulanan, Suku Tahunan, Digital, Simpanan Baharu, Kesetiaan, Serantau, Khas serta Hadiah Utama.
Selain dari kempen SBMB 2.0, MBSB Bank juga menganjurkan dua kempen lain iaitu ‘Winners and Dreamers’ dan ‘Dare To Dream’ yang berlangsung dari 1 Ogos 2023 sehingga 31 Januari 2024 bersempena Liga Kejuaraan MBSB Bank.
Sila lawati www.mbsbbank.com, untuk maklumat lanjut. DagangNews.com