MBSB sasar jadi institusi kewangan Islam matang menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

MBSB sasar jadi institusi kewangan Islam matang menjelang 2025


KUALA LUMPUR 19 Mei - Malaysia Building Society Bhd (MBSB) menggariskan pelan perniagaan jangka pendek dan jangka panjangnya ke arah menjadi institusi kewangan Islam matang sepenuhnya menjelang 2025.

 

MBSB dalam Laporan Tahunan dan Laporan Tadbir Urus Korporat 2020 berkata bagi  tempoh jangka pendek, Pelan Perniagaan 2021  (BP2021) menyasar menumpukan kepada usaha mengharungi impak pandemik dengan memulihkan keyakinan pemegang kepentingan, mengoptimumkan capaian pelanggan menerusi keupayaan digital dan peningkatan teknologi dan mengembangkan perkhidmatan sedia ada.  

 

Bagi inisiatif ini, syarikat menyasar meningkatkan pertumbuhan aset sebanyak 20 peratus, kata MBSB dalam laporan tersebut yang diserahkan kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Mengenai usahanya untuk menjadi institusi kewangan Islam matang sepenuhnya menjelang 2025 (J25), MBBS berkata ia telahpun menggariskan pelan dan aktiviti sehingga tahun kewangan 2025 bagi mencapai sasaran tersebut. 

 

“Kami akan melaksanakan pelan J25 menggunakan pendekatan ‘integrated thinking’ (pemikiran bersepadu) yang selari dengan pelaksanaan rangka kerja pelaporan bersepadu MBSB.

 

“Di bawah  J25, kami berhasrat untuk mengukuhkan (kedudukan kami) dengan meneroka  perniagaan baharu dan lebih menumpukan kepada  penawaran pembiayaan perdagangan kami,” katanya.

 

Bagi operasinya, syarikat itu menyasar mengekalkan paras nisbah kos kepada pendapatan dengan menguruskan kos secara tersusun dan menambah baik proses yang akan meningkatkan kecekapan. 

 

Pada Tahun Kewangan 2020, MBSB mencapai penarafan  luaran A2; pulangan bagi ekuiti  (ROE) 3.1 peratus; keupayaan digital yang dioptimumkan seperti memperkenalkan cawangan maya, e-dompet dan aplikasi mudah alih; dan gabungan portfolio korporat-runcit 26:74. 

 

Bagaimanapun, bagi Tahun Kewangan 2025, syarikat itu menyasarkan penarafan luaran AA2, ROE lebih tinggi dan portfolio korporat-runcit 40:60. - DagangNews.com