Usaha yang dilakukan ini adalah sebahagian daripada kempen #LekLuMcDBelanja #RiderKu yang dilaksanakan oleh McDonald Malaysia.
KUALA LUMPUR 13 Julai - McDonald’s Malaysia meraikan 65,000 penghantar makanan di seluruh negara dengan set hidangan Quarter Pounder beserta keju sebagai tanda penghargaan atas penat lelah mereka bekerja sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.
Usaha yang dilakukan adalah sebahagian daripada kempen #LekLuMcDBelanja #RiderKu yang dilaksanakan oleh restoran khidmat makanan segera itu untuk mengajak rakyat Malaysia sama-sama menzahirkan penghargaan kepada semua penghantar makanan yang bertungkus lumus memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan dengan selamat dan sampai tepat pada masanya.
Bersempena dengan inisiatif ini, penghantar makanan daripada FoodPanda, GrabFood, DeliverEat dan perkhidmatan McDelivery (MDS) layak mendapatkan set hidangan percuma Quarter Pounder dengan Keju antara pukul 2 petang hingga 5 petang, semalam, di restoran McDonald’s seluruh negara.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, penghantar makanan sering kali menjadi orang terakhir untuk makan, lebih-lebih lagi ketika sibuk memenuhi permintaan penghantaran pada waktu makan dan waktu puncak.
"Mereka terpaksa melepaskan waktu makan dan hanya makan selepas semua pesanan telah dihantar.
"Sesungguhnya, penghantar makanan memainkan peranan penting dalam menghubungkan kedai makanan dan minuman dengan orang ramai bagi memastikan perniagaan mereka terus berjalan lancar.
"Terima kasih kepada mereka, rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan kegemaran mereka di rumah masing-masing dalam keadaan selesa dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salah seorang penghantar makanan McDelivery, Roslina Talhad memilih pekerjaan itu bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga memandangkan suaminya tidak lagi dapat bekerja sepenuh masa disebabkan pandemik.
“Pelanggan selalunya terkejut melihat penghantar makanan wanita. Saya bertuah kerana pelanggan saya kebanyakannya sangat bertimbang rasa dan baik hati dengan memberikan tip kepada saya.
"Selalunya, sebelum saya pergi, mereka akan memberi kata-kata sokongan dan berpesan agar saya sentiasa menjaga diri,” ujar ibu kepada 5 anak ini.
Sementara itu, William Quah yang merupakan penghantar makanan McDonald’s selama dua tahun menyifatkan
pekerjaan itu sangat mencabar kerana permintaan untuk penghantaran makanan kini semakin meningkat.
Katanya, sejak PKP, masa untuk menghantar makanan menjadi semakin pendek.
"Tetapi, saya tetap berpuas hati dapat menggembirakan pelanggan setiap kali menghantar makanan kepada mereka.
“Pernah sekali, ada keluarga yang membuat pesanan yang banyak semasa Ramadan, dan mereka memberi satu set burger mereka kepada saya.
"Apabila ada yang menghargai penghantar makanan seperti saya, ia membuatkan saya bersemangat untuk terus bekerja,” katanya.
Seorang pelajar jurusan kejuruteraan di sebuah universiti swasta, Azyhan Musa berkata, dia menggunakan pendapatannya sebagai penghantar makanan untuk membiayai pengajian.
“Saya gembira dan berterima kasih kepada McDonald’s kerana menghargai kami, lebih-lebih lagi saya juga seorang pelajar separuh masa.
"Kadangkala semasa bekerja, kami terlupa untuk makan atau terpaksa tahan makan semata-mata untuk memenuhi pesanan pelanggan.
"Dengan inisiatif ini, saya teruja untuk mendapatkan hidangan yang diberikan kepada kami,” ujarnya.
Sebagai tanda terima kasih kepada semua penghantar makanan, kongsikan gambar atau video anda bersama #RiderKu di media sosial anda dan hashtag #LekLuMcDBelanja #TerimaKasihRider #MekdiBelanjaRider. - DagangNews.com