McDonald's Malaysia dan Astro Jalin Kerjasama Santuni Masyarakat sempena Ramadan | DagangNews Skip to main content

McDonald's Malaysia dan Astro Jalin Kerjasama Santuni Masyarakat sempena Ramadan

McDonald's dan Astro mengagihkan makanan kepada 1,000 orang petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) menerusi program McDelivery Berbakti.

 

KUALA LUMPUR 11 Mei – McDonald's Malaysia bekerjasama dengan Astro menerusi McDelivery Berbakti, satu inisiatif yang menyaksikan penghantaran makanan dan keperluan harian kepada keluarga asnaf dan petugas barisan hadapan negara sempena bulan suci Ramadan.

 

Pada bulan April, McDonald's dan Astro telah menyertai program Ziarah Ramadan anjuran Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), di mana 10 keluarga asnaf menerima sumbangan berupa wang tunai, barangan keperluan harian, dan hidangan berbuka puasa McDonald's.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar berkata, dalam mengharungi masa-masa sukar ini, adalah penting bagi McDonald’s sebagai sebuah organisasi untuk mengingatkan masyarakat bahawa mereka tidak bersendirian.

 

McDonald's dan Astro menganjurkan pelbagai aktiviti amal di bulan Ramadan, antaranya pengagihan makanan kepada 1,000 orang petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

 

Aktiviti yang dilaksanakan ini turut melibatkan penyanyi dan pengacara, Alif Satar, untuk menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas dedikasi tidak berbelah bahagi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

 

"Kami sangat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan McDonald’s di bulan Ramadan ini untuk mendekati masyarakat. Di sebalik pelbagai peraturan keselamatan yang ditetapkan, kami gembira dapat menjalankan aktiviti yang dirancang, pada masa sama memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” kata Pengarah, Penyelesaian Media, Astro, Wong See Wei.

 

McD
Selain daripada kerjasama dengan Astro di bulan Ramadan ini, McDonald's Malaysia meneruskan tajaan makanan untuk acara moreh kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara.

 

Persatuan Kebajikan Ronald McDonald yang merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s turut menganjurkan beberapa sesi berbuka puasa di 5 rumah anak yatim di Lembah Klang dan Kelantan, serta menyumbang wang tunai sebanyak RM5,000 kepada setiap rumah anak yatim tersebut.

 

Mendekati masyarakat merupakan komitmen McDonald’s dalam mewujudkan impak positif dalam kalangan masyarakat. Pada tahun lalu, McDonald's menganjurkan lebih 7,000 program kemasyarakatan yang telah memberi kegembiraan kepada jutaan rakyat Malaysia. - DagangNews.com