MCE Holdings jual tanah RM43.65 juta di Seksyen U13, Shah Alam kepada Grant Ascent | DagangNews Skip to main content

MCE Holdings jual tanah RM43.65 juta di Seksyen U13, Shah Alam kepada Grant Ascent

MCE Holdings menerusi anak syarikatnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd merupakan pengeluar alat ganti kenderaan./Gambar hiasan.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Feb - MCE Holdings Berhad akan melupuskan sebidang tanah di Seksyen U13, Shah Alam dengan pertimbangan tunai sebanyak RM43.68 juta.

 

MCE Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, anak syarikatnya, Vantage Realm Sdn Bhd (Vantage) telah memerai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Grant Ascent Sdn Bhd (GASB).

 

Tanah berkenaan yang tidak mempunyai apa-apa bangunan itu terletak dalam kawasan komersial utama Bandar Setia Alam, antaranya berhampiran Pusat Beli-Belah Setia City, Pusat Konvensyen Setia City dan Courtyard by Marriott Setia Alam.

 

Dengan harga pembelian atas dasar ‘pembeli sanggup, penjual rela’, kumpulan itu berkata, mereka tidak berhasrat untuk meneruskan pembangunan di tanah itu yang dibeli pada 2014.

 

"Selain daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pelupusan itu dijangka siap pada suku keempat 2024," katanya.

 

MCE berkata, Kumpulan menjangkakan untuk merealisasikan anggaran keuntungan pro forma bersih atas pelupusan RM5.85 juta.

 

“MCE akan menggunakan hasil [pelupusan] tersebut untuk modal kerja operasi harian termasuk pembelian barangan mentah,” tambahnya.

 

Dalam makluman itu, tanah tersebut dibeli pada Jun 2014 pada harga RM29.46 juta dengan hasrat untuk mempelbagaikan perniagaan terasnya ke dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

 

"Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan teras sedia ada dalam sektor automotif mengikut strategi perniagaannya pada ketika ini," ujarnya. - DagangNews.com