MCII sasar tembusi sekolah di Sabah dengan program literasi, pendidikan STEM mulai tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

MCII sasar tembusi sekolah di Sabah dengan program literasi, pendidikan STEM mulai tahun hadapan

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt - Malaysian Collective Impact Initiative (MCII) menyasarkan untuk menembusi sekolah-sekolah di Sabah dengan program literasi, pembelajaran abad ke-21 dan pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bermula tahun hadapan. 

 

MCII berkata, Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai prestasi sekolah terendah dengan isu kritikal seperti ketidakhadiran guru dan bekalan elektrik serta capaian internet yang tidak stabil. 

 

Katanya, isu-isu berkaitan ekuiti pendidikan di negeri itu adalah kompleks dan berlapis; yang memerlukan intervensi berjangka masa panjang dan jitu.

 

"Cabaran besar wujud disebabkan kekurangan data komprehensif yang menghubungkan keperluan sekolah dan kadar penyertaan program kepada ketersediaan program pembinaan kapasiti yang berkaitan di sekolah. Untuk tujuan ini, MCII menjalankan soal selidik dan sesi meja bulat bersama penyedia perkhidmatan serta guru-guru sekolah. 

 

"Hasil dapatan dianalisa dan diterbitkan dalam Laporan Penilaian Keperluan: Pembangunan Kapasiti Pendidikan di Sekolah Sabah. Berdasarkan hasil data, MCII berhasrat untuk mengesahkan lagi rangka kerja intervensi sekolah ini dengan bekerjasama dengan pemimpin masyarakat tempatan, pihak berkuasa pendidikan, penyedia program dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membangun dan menjalankan program pembinaan kapasiti yang bersasar di sekolah.

 

"Menurut hasil laporan tersebut, antara cabaran utama yang dihadapi sekolah adalah berkaitan sumber pembelajaran, literasi, persekitaran pembelajaran yang menarik, pendedahan kepada teknologi baharu dalam pendidikan, serta pengaplikasian STEM dalam pembelajaran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Dalam pada itu MCII berkata, pihaknya menyambut baik usaha progresif kerajaan dalam menyokong dan mentransformasi pendidikan negara, mengekalkan pendidikan sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2024 dengan jumlah RM58.7 bilion, lebih RM3 bilion dari tahun sebelumnya.

 

Menurutnya, peruntukan untuk pendidikan adalah lebih bersasar dan holistik, yang mana terdapat inisiatif untuk menambahbaik infrastruktur serta membina sekolah baharu dari peringkat prasekolah ke universiti; menjaga kebajikan pelajar, meningkatkan pendigitalan, memupuk dan memperkasa STEM, melindungi kesejahteraan murid berkeperluan khas, dan membangunkan kualiti, kredibiliti serta pengaksesan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

 

Katanya, sebagai sebuah NGO berasaskan pendidikan yang mempunyai lebih lapan tahun pengalaman bekerjasama dengan sekolah-sekolah awam bermajoriti B40, pengumuman ini amat dialu-alukan, apatah lagi apabila kerajaan memperuntukkan 1.9 bilion ringgit untuk kerja menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah yang memerlukan atau daif di seluruh negara, turut merangkumi 450 buah sekolah di Sabah dan Sarawak serta sekolah pendidikan khas yang memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme.

 

"MCII telah membangunkan sebuah Rangka Kerja Intervensi Sekolah MCII, yang telah terbukti berjaya membawa program pembinaan kapasiti yang direka mengikut keperluan sekolah untuk para pelajar dan guru. 

 

"Menerusi rangka kerja yang bersifat kolaboratif ini, program-program yang dibawa oleh MCII menerima komitmen yang tinggi dari sekolah dan diterima baik oleh pihak berkuasa pendidikan, menghasilkan impak yang tinggi," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, bermula dengan dua sekolah pada 2016, Rangkaian Sekolah MCII berkembang secara organik kepada 23 sekolah dan mencakupi hampir 40 program setakat ini di Klang, Selangor, yang berfokuskan kepada literasi dan membina persekitaran pembelajaran yang kondusif di sekolah. - DagangNews.com