MCIS beli 4.99% kepentingan dalam Merchantrade Asia | DagangNews Skip to main content

MCIS beli 4.99% kepentingan dalam Merchantrade Asia

Prasheem Seebran (kiri) dan Ramasamy Veeran bertukar-tukar dokumen perjanjian di Kuala Lumpur, 22 November 2021.
 

KUALA LUMPUR 22 Nov - MCIS Insurance Bhd (MCIS Life) telah mengambil alih 4.99% kepentingan dalam Merchantrade Asia Sdn Bhd, peserta e-wang dan pengendali Perniagaan Perkhidmatan Wang terbesar Malaysia, menerusi pemerolehan saham biasa baharu dalam jumlah yang tidak didedahkan.

 

Kedua-dua syarikat itu memulakan pengaturan pengedaran pemasaran pada 2019 di mana MCIS Life menyediakan pelan perlindungan insurans hayat untuk pelanggan Merchantrade merangkumi rakyat Malaysia serta pekerja asing.

 

Pada Ogos 2021, kedua-duanya bekerjasama lagi sekali untuk menyediakan produk yang disasarkan untuk komuniti yang kurang mampu seperti warganegara Malaysia yang layak untuk skim Perlindungan Tenang Voucher (PTV).

 

Dalam satu kenyataan MCIS berkata, kerjasama strategik itu hadir pada waktu yang tepat, memandangkan nilai insurans nyawa dan produk kewangan lain telah mendadak naik pada waktu pandemik ini.

 

"Gabungan kekuatan dan sinergi antara kedua-dua syarikat ini tersedia untuk membuka lebih lagi penyelesaian insurans digital berinovasi dan dipersonalisasi untuk memenuhi keperluan perlindungan pelanggan dari semua lapisan masyarakat.

 

"Pemerolehan strategik ini akan mempercepatkan perjalanan transformasi digital MCIS Life dan memanfaatkan keupayaan digital Merchantrade, mengakses rangkaian meluas lebih 1,000 titik sentuh fizikal di seluruh negara dan tiga juta pelanggan mereka," katanya.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MCIS Life, Prasheem Seebran, berkata Merchantrade adalah syarikat teknologi kewangan (fintech) berkembang pesat yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam pendigitalan dan memacu inovasi dalam perkhidmatan kewangan.

 

"Ia sekali gus membolehkan syarikat itu mempergunakan kepakaran mereka dalam mengejar cita-cita syarikat untuk menjadi penanggung insurans hayat berfokus digital," katanya.

 

Prasheem berkata, strategi MCIS Life tertumpu pada meningkatkan pengalaman pelanggan melalui penyelesaian produk inovatif dan penawaran perkhidmatan digital.

 

Katanya, sinergi antara kedua-dua syarikat akan terus disokong oleh penyelesaian teknologi Merchantrade serta penerokaannya ke ruang pembayaran.

 

"Kami berusaha untuk mencapai sasaran kami dengan melancarkan lebih banyak produk yang sesuai dengan pasaran sasaran Merchantrade dan pakatan strategik ini dijangka menyumbang lebih 25 peratus daripada sumbangan perniagaan baharu bukan agensi MCIS Life menjelang 2025," katanya.

 

Beliau berkata, pemerolehan itu membolehkanya mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara kedua-dua syarikat sejak 2019 dan MCIS Life melihat nilai yang luar biasa dalam aplikasi e-dompet mudah alih Merchantrade dan di seluruh negara.

 

"Pada masa ini MCIS Life ialah rakan kongsi insurans hayat eksklusif Merchantrade. Mengambil kira potensi syarikat dan pelbagai peluang untuk bekerjasama dan mencipta nilai untuk pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan, pelaburan ini dijangka membawa nilai yang signifikan kepada kami," katanya.

 

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy Veeran berkata, pemilikan jenama yang unggul seperti MCIS Life selaras dengan matlamatnya untuk mengembangkan penawaran insurans.

 

Katanya, ia membolehkan Merchantrade membangunkan produk dan perkhidmatan baru dengan lebih baik, dan menambah positif nilai kepada pelanggan dan komuniti.

 

"Membina daripada perniagaan teras kami dengan perkongsian dan kerjasama strategik, kami akan terus mempercepatkan pelancaran perkhidmatan kewangan yang inovatif dan mengukuhkan ekosistem komprehensif kami bagi teknologi saling berkaitan.

 

"Ia seperti pengiriman wang global, pembayaran, solusi e-wallet, pertukaran mata wang asing, mikro- insurans, tele-kesihatan, pinjaman mikro, perkhidmatan telco dan banyak lagi.

 

"Semuanya dengan aspirasi untuk memberikan pelanggan pengalaman pertama digital yang boleh dipercayai dan meningkatkan akses kewangan merentasi semua lapisan masyarakat," katanya. - DagangNews.com