MCMC ambil tindakan tegas kawal selia kandungan digital untuk banteras jenayah dalam talian | DagangNews Skip to main content

MCMC ambil tindakan tegas kawal selia kandungan digital untuk banteras jenayah dalam talian

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengkaji semula kerangka kawal selia sedia ada ekoran berlakunya peningkatan tahap kandungan yang dieksploitasi penjenayah dan mereka yang cuba menganggu gugat keselamatan awam dan keharmonian negara. 

 

Terdapat beberapa aplikasi 'Over-The-Top (OTT)' dan platform media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka sejajar dengan kepentingan nasional dan perundangan negara. 

 

Justeru, tindakan kawal selia yang lebih ketat dan campur tangan pihak pengawal selia adalah diperlukan bagi melindungi kepentingan pengguna dan orang awam.

 

Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perbuatan menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian ataupun kemudahan dalam talian untuk tujuan 'scam', aktiviti siber berniat jahat, penipuan, 'phishing', kandungan yang menggugat kestabilan dan keharmonian kaum, serta penghinaan terhadap institusi diraja. 

 

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang. 

 

"MCMC, selaku ahli dalam Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bersama-sama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), bertekad meneruskan usaha bersama kami dalam memerangi aktiviti penipuan menerusi tindakan-tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam kenyataan itu, MCMC berkata, kebimbangan tersebut berbangkit selepas hasil pemerhatian yang dijalankan mendapati, jumlah kes penipuan menunjukkan peningkatan. 

 

 

mcmc
                                           Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din

 

 

Katanya, sejak penubuhan NSRC pada Oktober 2022, sejumlah 11,858 aduan yang berkaitan dengan penipuan telah diterima setakat April 2023. 

 

Sementara itu, perangkaan yang diperolehi daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM bagi tempoh antara 2021 sehingga April 2023 mendedahkan, jumlah kerugian akibat scam mencecah sehingga RM1.2 bilion. 

 

"Bagi tempoh sama juga, jumlah berita palsu yang dilaporkan kepada MCMC adalah sebanyak 2,125. Selepas meneliti bilangan kes penyalahgunaan dan ancaman yang ditimbulkan akibat sikap lepas tangan penyedia platform, wujud keperluan untuk mengenakan serta menguatkuasakan kewajipan terhadap mereka yang mengendalikan platform sedemikian.

 

"Pihak yang mendapat manfaat daripada digitalisasi untuk mengambil langkah-langkah tegas bagi memastikan platform atau rangkaian kendalian mereka tidak digunakan sebagai forum untuk melanggar undang-undang negara ataupun mengancam kepentingan awam," katanya.

 

Menurut MCMC, pihak pengawal selia dan rakan industri di Singapura, Vietnam dan Indonesia baru-baru ini telah atau dalam proses untuk menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal selia serta menjenayahkan aktiviti penipuan dalam sesetengah platform yang dimaksudkan.

 

Selain itu, mempertanggungjawabkan platform yang gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dengan membenarkan aktiviti-aktiviti berniat jahat seperti penipuan pengiklanan dalam platform mereka atau tidak mengambil langkah yang secukupnya dalam mengekang aktiviti sedemikian. 

 

"MCMC sebagai badan kawal selia industri tertumpu di Malaysia, akan turut mengkaji semula pendekatan kawal selia untuk melaksanakan tahap pengawasan yang lebih tinggi menerusi instrumen perundangan sedia ada. 

 

"Ini termasuklah kajian semula ke atas pengecualian terhadap sesetengah aktiviti selain mengenakan sekatan jenayah dan arahan punitif terhadap entiti yang enggan mengambil langkah-langkah segera bagi memastikan aktiviti-aktiviti jenayah yang berlaku dalam rangkaian atau platform mereka dihentikan," katanya. - DagangNews.com