MCMC giat bangunkan bakat digital negara menerusi kerjasama dengan 3 agensi | DagangNews Skip to main content

MCMC giat bangunkan bakat digital negara menerusi kerjasama dengan 3 agensi

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama dengan beberapa institusi tempatan dan global iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) dan Agensi Nuklear Malaysia bagi merealisasikan pembangunan bakat digital dan pemerkasaan ekonomi digital.

 

Majlis menandatangani dokumen kersama itu disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd. Yunus mencerminkan komitmen MCMC dalam meningkatkan pembangunan bakat dan keupayaan bagi memenuhi kapasiti industri komunikasi dan multimedia negara.

 

Menurut MCMC, di bawah kerjasama dengan UniKL, ia bakal dijalinkan menerusi program pembangunan pentauliahan yang akan memberi peluang kepada golongan dewasa khususnya pekerja untuk menambah nilai kemahiran agar kekal relevan dalam kerjaya masing-masing.

 

Sementara itu, katanya, jalinan kerjasama dengan pihak MBOT dan Agensi Nuklear Malaysia pula memberi fokus dalam membangunkan program pensijilan berkaitan bidang teknologi, terutamanya dalam telekomunikasi dan penyiaran, keselamatan siber, pengkomputeran dan Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (RF-EMF).

 

"Dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses kepada latihan kemahiran digital, MCMC turut memeterai kerjasama dengan Google untuk menyediakan biasiswa kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk menjalani kursus dan mendapat Sijil Kerjaya Google di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi). 

 

"Kursus yang disediakan termasuklah Sokongan IT, Automasi IT, Analisis Data, Reka Bentuk UX, Pengurusan Projek atau Pemasaran Digital dan Edagang," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selepas selesainya menghadiri kursus-kursus tersebut, mereka akan mendapat Sijil Kerjaya Google di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi). 

 

Dengan adanya Sijil Kerjaya Google, ia juga memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk memohon pekerjaan menerusi Konsortium Majikan oleh Google.

 

Pada majlis yang sama, Mohd Ali turut mengumumkan penganugerahan DSRG kepada sembilan penerima bagi kitar pertama 2022. 

 

Kesemua penerima anugerah terbabit dipilih daripada 183 pemohon geran yang telah melalui proses pemilihan yang ketat. 

 

Hasil dapatan daripada kajian yang dijalankan oleh penerima anugerah DSRG mampu memberi input berharga kepada MCMC dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih jitu.

 

MCMC berkata, sejak 2008 lagi, ia telah menganugerahkan geran penyelidikan melibatkan dana sejumlah RM3.8 juta dan setakat ini, inisiatif berkenaan telah menghasilkan sebanyak 56 projek penyelidikan. 

 

"Keprihatinan MCMC dalam perkara ini turut terserlah apabila pihak suruhanjaya telah memberi komitmen untuk terus memperuntukkan sekurang-kurangnya RM200,000 setahun bagi geran penyelidikan," katanya.

 

Sempena dengan majlis penganugerahan Geran DSRG itu juga, satu simposium bertemakan: Ke Arah Malaysia Yang Lebih Inklusif: Pandangan Penyelidikan Mengenai Implikasi Komunikasi Digital Terhadap Masyarakat turut dianjurkan dan menjadi platform bagi pihak akademia dan pihak berkepentingan lain untuk berbincang mengenai topik-topik penyelidikan yang boleh dimanfaatkan oleh semua termasuk pihak universiti, agensi-agensi Kerajaan dan para pelajar. - DagangNews.com