KUALA LUMPUR 2 Dis - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited dalam mempercepatkan kajian ke atas kerangka pengurusan kandungan dalam talian bagi menangani kandungan berbaur provokatif yang menyebarkan isu perkauman dan mewujudkan perpecahan dalam masyarakat di negara ini.
Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din menegaskan, langkah itu dibuat susulan peningkatan aktiviti memuat naik kandungan bersifat mengancam dan provokatif yang semakin berleluasa di dalam talian ketika ini.
Beliau berkata, kajian ini meliputi kerangka kawal selia dalam aspek pelesenan, kesesuaian hukuman atau penalti semasa serta keperluan untuk memperkenalkan undang-undang baharu.
"Sudah tiba masanya kerangka kawal selia semasa perlu dikaji semula, mengambil kira keadaan semasa di alam siber yang dilihat di luar kawalan yang memungkinkan penyebaran kandungan-kandungan yang mengancam keselamatan dan keharmonian negara, pandangan ekstremisme dan palsu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Salim berkata, perkembangan serantau di mana negara-negara seperti Indonesia, Singapura dan Australia telah memperkenalkan undang-undang secara langsung dalam mengawal selia platform penyedia perkhidmatan media sosial agar mereka lebih bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan dalam menguruskan kandungan yang mengancam.
Katanya, kesemua langkah berkenaan bertujuan untuk menghindari orang ramai daripada bersifat melampau dan menyebarkan pandangan berbaur provokatif ketika berada dalam talian.
"Sesungguhnya, Malaysia amat bertuah kerana mempunyai kepelbagaian dari aspek etnik, budaya, kepercayaan mahupun bahasa.
"Oleh itu, MCMC menyeru semua pihak untuk sama-sama menghormati dan menerima kepelbagaian, keterangkuman, perasaan hormat kepada kaum, agama dan institusi raja," katanya.
Tambahnya, matlamat ini boleh dicapai dengan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara yang mana ia bertujuan untuk mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. - DagangNews.com