MCMC terbitkan Laporan Rundingan Awam pelaksanaan FNP di Malaysia | DagangNews Skip to main content

MCMC terbitkan Laporan Rundingan Awam pelaksanaan FNP di Malaysia

 

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan Laporan Rundingan Awam berhubung pelaksanaan Kemudahalihan Nombor Talian Tetap (FNP) di Malaysia bagi merumuskan hasil rundingan dan keputusan MCMC berdasarkan maklum balas yang diterima. 

 

Dalam kenyataan, MCMC berkata, laporan berkenaan dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu penanda aras antarabangsa, aspek teknikal FNP, kos pelaksanaan FNP, aspek prosedur FNP dan langkah seterusnya.

 

"Sesi Rundingan Awam tersebut membolehkan pihak MCMC untuk merangka langkah seterusnya berhubung FNP dan dasar penomboran tetap di Malaysia," katanya hari ini.

 

FNP merujuk kepada keupayaan para pelanggan perkhidmatan talian tetap untuk mengekalkan nombor sedia ada sama ada beralih lokasi atau penyedia perkhidmatan yang lain. 

 

MCMC menjangkakan pelaksanaan FNP ini akan mewujudkan pasaran perkhidmatan talian tetap yang lebih berdaya saing bagi penyedia perkhidmatan untuk melabur meluaskan rangkaian perkhidmatan tetap dan memberi perkhidmatan yang lebih baik.

 

Bagi merealisasikan pelaksanaan FNP, Kumpulan Kerja Industri (IWG) akan ditubuhkan untuk memuktamadkan butiran lanjut pelaksanaannya. 

 

"MCMC melihat keperluan untuk membenarkan IWG untuk menetapkan garis masa pelaksanaan FNP yang bersesuaian bagi membolehkan para pengguna dapat menikmati FNP dengan secepat mungkin," jelasnya.

 

Untuk maklumat lanjut dan laporan penuh berhubung Laporan Rundingan Awam mengenai pelaksanaan Kemudahalihan Nombor Talian Tetap (FNP), sila layari pautan
https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/PublicConsultation-Report-Implementation-of-FNP-in-Malaysia.PDF. - DagangNews.com