MDEC & Austrade pelawa syarikat teknologi sertai Bursa Teknologi Australia-Malaysia (AMTX) | DagangNews Skip to main content

MDEC & Austrade pelawa syarikat teknologi sertai Bursa Teknologi Australia-Malaysia (AMTX)

 

CYBERJAYA 6 Mei 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC mengumumkan kerjasama dengan Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (Austrade) bagi melaksanakan Bursa Teknologi Australia-Malaysia (AMTX) iaitu inisiatif untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan digital dua hala.

 

Sehubungan itu, syarikat -syarikat teknologi dari kedua-dua negara dijemput menyertai sesi webinar yang berlangsung pada 6 Mei 2021.

 

Perkembangan ini menyusul selepas kedua-dua negara pada Januari lalu, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan hubungan diplomatik dan perdagangan menerusi Rakan Kerjasama Komprehensif-Strategik (CSP).

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata, Australia merupakan rakan dagang penting kepada Malaysia dan MDEC berharap dapat membina hubungan yang lebih erat dalam bidang perdagangan dan pelaburan digital melalui program ini.

 

MDEC turut komited untuk memberikan sokongan terbaik bagi mengukuhkan ekosistem teknologi di kedua-dua negara dan seterusnya mencapai kejayaan bersama.

 

“Kerjasama yang berkesan akan meningkatkan inovasi ketika negara dan MDEC berusaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), ” katanya.

 

mdec
Surina Shukri

 

Austrade melihat AMTX sebagai platform perniagaan untuk menyokong dan meningkatkan perkongsian awam dan swasta serta penyedia perkhidmatan teknologi dan syarikat besar dengan sokongan dari kerajaan Australia dan Malaysia.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan MDEC untuk memulakan dan menjayakan perjalanan  yang menarik ini. Kami yakin bahawa AMTX akan memberi peluang perdagangan dan pelaburan yang besar bagi penyedia perkhidmatan teknologi dan menghasilkan peningkatan faedah kepada ekonomi masing-masing,” kata Paul Sanda, Pesuruhjaya Kanan Austrade.

 

austrade
Paul Sanda

 

Dalam usaha menarik dan memudahkan syarikat teknologi Australia untuk beroperasi di Malaysia, MDEC menawarkan Program Usahawan Teknologi Malaysia (MTEP) yang memberikan pas selama setahun kepada usahawan baharu dan pas lima tahun kepada syarikat yang sudah mapan.

 

Di samping itu, program Hab Digital Malaysia (MDH) juga bersedia untuk menyokong ruang kerja bersama yang memudahkan lagi kemasukan ke Malaysia untuk syarikat teknologi Australia.

 

MDEC dan Austrade juga telah menyediakan platform sehenti untuk memberikan bantuan dan bimbingan kepada syarikat teknologi yang ingin menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pengembangannya di rantau Asia Tenggara dan kawasan sekitarnya.

 

Syarikat yang berminat hanya perlu mengisi borang menerusi pautan disediakan di bawah dan MDEC akan memberikan bantuan yang diperlukan.

 

AMTX diperkenalkan untuk mendorong kerjasama digital membabitkan syarikat -syarikat teknologi dari kedua-dua negara untuk merintis kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala dalam ekonomi digital.

 

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyediakan platform dan menyokong kerjasama serta inovasi dalam ekonomi digital termasuk berusaha untuk mengurangkan halangan perdagangan digital dan mempromosikan peraturan perdagangan digital yang konsisten dan terbuka di rantau ini.

 

Usaha ini adalah sebahagian daripada CSP yang diumumkan pada bagi menyokong kerjasama membabitkan tiga bidang iaitu kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi dan pertahanan dan keselamatan wilayah.

 

Kedua-dua negara telah bekerjasama erat dalam perdagangan dan pelaburan digital selama beberapa dekad. Pelaburan Australia di Malaysia sejak 1997 hingga 2018 di Koridor Raya Multimedia (MSC) berjumlah RM2.53 bilion (AS$617 juta) dengan 41 syarikat aktif di pasaran.

 

amtx

 

Syarikat teknologi Australia tertarik dengan iklim pelaburan Malaysia berdasarkan faktor lokasinya yang strategik, persekitaran perniagaan yang menarik dan kemudahan infrastruktur yang lengkap.

 

Australia juga merupakan pasaran utama bagi banyak syarikat teknologi Malaysia untuk berkembang dengan negara tersebut menjadi pasaran untuk menguji produk sebelum memasuki pasaran Eropah dan Amerika Utara.

 

Sejak beberapa tahun lalu, sebanyak 11 syarikat teknologi Malaysia telah disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia (ASX) dan menjadikan negara ini sebagai alternatif yang ideal untuk pengumpulan modal.

 

Sejak dimulakan, program akses pasaran MDEC telah menjalin kerjasama dengan lebih dari 200 pihak di seluruh dunia dan menjalin lebih dari 800 peluang padanan perniagaan untuk syarikat.

 

Usaha ini menyumbang pendapatan eksport digital lebih AS$1 billion. MoU baru ini pula diyakini akan meneruskan kejayaan yang dicapai dan mengeratkan lagi hubungan digital antara kedua-dua negara.

 

Sehingga kini, MSC Malaysia telah menarik pelaburan keseluruhan sebanyak RM345 bilion dan mewujudkan hampir 185,000 pekerjaan. Pelaburan yang diterima melibatkan pelbagai negara dan syarikat antarabangsa yang membuka perkhidmatan perniagaan global dan operasi serantau mereka di Malaysia.

 

Malaysia juga menduduki tempat kedua di ASEAN dan ke-26 global dalam World Competitiveness Ranking 2020'  dikeluarkan Institut Pengurusan Pembangunan (IMD).

 

AMTX kini dibuka untuk pendaftaran. Syarikat teknologi, syarikat dan rakan kongsi dari kedua-dua negara boleh melayari pautan https://mdec.my/amtx  untuk mendaftar dan mengambil bahagian dalam acara maya ini. - DagangNews.com