MDEC lantik Richard Loh sebagai Ketua Pegawai Inovasi & Teknologi | DagangNews Skip to main content

MDEC lantik Richard Loh sebagai Ketua Pegawai Inovasi & Teknologi

Richard Loh Tian Hu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi utama menerajui transformasi ekonomi digital negara, hari ini mengumumkan pelantikan Richard Loh Tian Hu sebagai Ketua Pegawai Inovasi dan Teknologi.

 

Beliau akan menggalas tanggungjawab untuk menerajui dan membina Strategi Teknologi Maklumat, Pelan Digital dan Transformasi MDEC.

 

Richard juga ditugaskan untuk mengkaji, menyusun semula dan mengintegrasikan fungsi dan infrastruktur teknologi demi meningkatkan keupayaan MDEC serta memastikan ia sejajar dengan objektif untuk memberikan perkhidmatan teknologi dan inovasi digital yang lebih dinamik serta responsif kepada para pelanggan.

 

"Saya sangat teruja untuk berkhidmat bersama MDEC dan menjadi sebahagian daripada usaha menjadikan negara sebagai pemain utama dalam ekosistem digital di peringkat serantau dan global secara amnya.

 

"Berkhidmat untuk rakyat Malaysia merupakan satu penghargaan tertinggi buat saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Richard memulakan kerjaya beliau di Siemens Malaysia pada 1997, kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Maklumat di Nokia Siemens Network pada 2006.

 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Maklumat di AIG Insurance Malaysia; pernah memegang jawatan sebagai Ketua bagi Perkhidmatan Teknologi Maklumat di Zurich Insurance Malaysia.

 

Jawatan terakhir beliau sebelum menyertai MDEC adalah sebagai Ketua Pegawai Maklumat di AXA Partners bagi rantau Asia.

 

Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, Richard memiliki pengalaman dan pengetahuan luas yang boleh memacu inisiatif transformasi digital MDEC lebih jauh, yang bakal memberi manfaat kepada semua, menggalakkan masyarakat terintegrasi dengan teknologi, berpaksikan keterangkuman dan kesamaan sejajar dengan Malaysia 5.0.

 

Rais Hussin Mohamed Ariff
Rais Hussin Mohamed Ariff

 

"Ini dapat dilihat menerusi pengalaman dan pencapaian beliau, dengan itu, saya berasa sukacita dan mengalu-alukan kehadiran beliau ke dalam pasukan MDEC," katanya.

 

Richard akan melaporkan diri di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dilantik sebagai salah seorang anggota Majlis Operasi MDEC (MOC).

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC, Surina Shukri menjangkakan Richard akan memperkukuhkan strategi Teknologi Maklumat dan keselamatan data agensi itu, selaras dengan peningkatan keupayaan dan kapasiti MDEC dalam ekonomi digital secara keseluruhannya.

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

"Saya yakin Richard akan terus memberi nilai tambah dan memastikan kami meningkatkan kekuatan dan penyampaian kami kepada para pelanggan, demi menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN dan mencapai objektif dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital)," ujar beliau. - DagangNews.com