KUALA LUMPUR 20 Julai - Pusat inovasi Telekom Malaysia Berhad (TM) iaitu TM Research & Development (TM R&D) telah dilantik sebagai Rakan Teknologi Data bagi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di bawah program usahasama teknologi data mereka.
Menerusi pelatikan itu, TM R&D akan memudahkan pembangunan bakat dan kolaborasi antara industri dengan akademik sekali gus menyumbang kepada pembinaan ekosistem teknologi data yang aktif.
Perkara itu akan dilaksanakan dengan mempercepatkan penerimaan teknologi data dan membangunkan perusahaan keputusan berdasarkan data (DDD) atau data-driven decision enterprises.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin melihat pelantikan berkenaan merupakan satu lagi pencapaian penting buat kumpulan tersebut selain menepati peranan unik mereka sebagai pemacu Digital Malaysia.
“Sebagai Rakan Teknologi Data kepada MDEC, TM R&D akan berkongsi kes-kes kajian berkaitan teknologi data bagi mewujudkan minat dalam kalangan perusahaan perniagaan untuk menerima teknologi data ini.
“Di TM, kami percaya inovasi-inovasi digital amat penting kepada kelestarian perniagaan dalam mendepani persekitaran masa kini yang sentiasa berevolusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada bulan Mei lalu, TM R&D dan MDEC telah berganding bahu menerusi pelancaran platform pusat pertukaran data di bawah inisiatif MDEC #DigitalVsCovid bagi memudahkan dan mempercepatkan perkongsian data.
Pembangunan Platform Pertukaran Data (Data Exchange Platform) berkenaan adalah salah satu inisiatif di bawah program tersebut dan bertujuan mempercepat akses kepada data bagi pembangun, pelajar, saintis dan pengamal perubatan serta agensi-agensi kerajaan.
Platform Pertukaran Data itu dibangunkan di Platform Inovasi Terbuka (OIP) milik TM R&D, iaitu platform pembangunan perisian terbuka pertama di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, TM R&D, Dr. S. Thiagarajah berkata, pelantikan itu membolehkan pihaknya berganding bahu dengan MDEC dan perusahaan-perusahaan dalam pelbagai aktiviti kolaborasi, dengan memanfaatkan kepakaran dan keupayaan teras masing- masing. - DagangNews.com