MDEC tambah 2 jawatankuasa baharu | DagangNews Skip to main content

MDEC tambah 2 jawatankuasa baharu

MDEC

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) meneruskan penyelarasan semula organisasinya dengan pengumuman penambahan dua jawatankuasa lembaga baharu untuk mengukuhkan lagi tadbir urus dan inovasi syarikatnya.

 

Dua jawatankuasa baharu itu ialah Tadbir Urus & Integriti serta Inovasi & Teknologi.

 

Pengerusinya, Datuk Wira Dr. Rais Hussin berkata, pengumuman tersebut adalah langkah progresif pihaknya untuk mendorong digital Malaysia mencapai Revolusi Perindustrian Keempat (IR4).

 

"Saya percaya dengan perubahan yang belum pernah terjadi ini adalah sebagai komitmen untuk memimpin ekonomi digital Malaysia secara tegas dan memastikan kesejahteraan bersama untuk seluruh rakyat Malaysia.

 

Rais Hussin
Rais Hussin

 

"MDEC yakin dengan penggabungan pemimpin industri ke dalam Lembaga Pengarah MDEC akan memberikan perspektif yang lebih meluas mengenai bidang kritikal seperti tadbir urus korporat, pengurusan risiko, ekonomi digital dan trend teknologi yang muncul.

 

"Oleh itu, MDEC mempunyai kapasiti untuk menjalankan pelbagai urusan dengan lebih pantas dalam masa yang singkat yang akhirnya mampu mengembangkan organisasi yang berpretasi dan berimpak tinggi.

 

"Komitmen kami untuk penyelarasan semula ini menempatkan kami dalam posisi yang lebih baik daripada sebelumnya untuk mendorong negara kita mencapai Malaysia 5.0, merialisasikan Shared Prosperity Vision 2030 sekali gus menjadikan Malaysia sebagai Jantung Digital ASEAN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Susunan jawatankuasa Lembaga yang baharu
Susunan jawatankuasa Lembaga yang baru

 

Susunan jawatankuasa Lembaga yang baru

 

Jawatankuasa Tadbir Urus & Integriti akan mengawasi struktur dan amalan tadbir urus keseluruhan lembaga dan organisasi selain mendorong tahap integriti dan pematuhan dalam penerapan persekitaran toleransi sifar dalam penipuan dan rasuah.

 

Manakala jawatankuasa Inovasi & Teknologi pula akan mengkaji dan membuat cadangan kepada Lembaga mengenai strategi dan subjek utama seperti inovasi teknikal, komersial dan proses pemulihan di samping sistem pengukuran dan pengesanan bagi inovasi yang berjaya.

 

Pemimpin industri yang baru dilantik juga akan memegang keahlian dalam tiga jawatankuasa Lembaga seperti jawatankuasan Audit & Risiko (ARC), jawatankuasa Imbuhan & Pencalonan (RNC) dan jawatankuasa Tender MDEC (MTC) berdasarkan pengalaman masing-masing.

 

Jaleeludeen Abu Baker dimasukkan di bawah ARC, Aireen Omar akan sertai RNC, makala Farouk Peter Lee dan Dr. Dhesi Baha pula akan dimasukkan di bawah MTC.

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, pihaknya memerlukan idea dan perspektif baharu untuk membuat keputusan yang lebih tangkas dan proaktif.

 

"Kepakaran industri ahli baharu kami yang tiada tandingannya akan lebih bertambah melalui jawatankuasa baharu ini sekali gus mendorong kerjasama yang lebih besar dalam ekosistem digital kami," tambah beliau lagi. - DagangNews.com