MDEC tawar pelbagai kursus percuma dengan kerjasama syarikat teknologi global | DagangNews Skip to main content

MDEC tawar pelbagai kursus percuma dengan kerjasama syarikat teknologi global

 

 


KUALA LUMPUR 13 Dis - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan kategori baharu ,'Belajar Secara Percuma' dalam Direktori Latihan Kemahiran Digital MDEC bagi menyokong peningkatan kemahiran dan latihan semula ke arah pemulihan ekonomi negara.

 

Bagi menangani pasaran pekerjaan yang kerap berubah, kategori terbaharu ini akan menawarkan latihan percuma menerusi kerjasama antara MDEC dan syarikat teknologi global terkemuka. 

 

Inisiatif itu akan dimulakan dengan kursus yang dibawa oleh Facebook, Google dan IBM serta akan dikembangkan lagi untuk menarik lebih ramai rakan teknologi pada tahun hadapan. 

 

Sebagai permulaan, kursus-kursus yang ditawarkan adalah dalam bidang pemasaran digital, latihan kerjaya bebas, pengkomputeran awan dan pengkomputeran kuantum, Kecerdasan Buatan (AI), Blockchain, keselamatan siber, sains data dan teknologi baharu muncul.

 

 

Sumitra Nair
Sumitra Nair

 

 

Ketua Pegawai Kemahiran Digital dan Kerjaya MDEC, Dr. Sumitra Nair berkata, MDEC dengan kerjasama syarikat teknologi global terkemuka telah menawarkan kursus latihan yang mendapat permintaan rakyat Malaysia menerusi Direktori Latihan Kemahiran Digital. 

 

Melalui inisiatif tersebut, katanya, pihaknya berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat memulakan perjalanan latihan semula mereka

 

"Proses pendigitalan telah diguna pakai oleh syarikat-syarikat sebelum pandemik COVID-19 berlaku lagi. 

 

"Ini telah meningkatkan keperluan untuk bakat kita dilatih semula dan ditingkatkan kemahiran, untuk memenuhi keperluan pasaran yang berubah dengan pantas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Selain daripada “Belajar Secara Percuma”, Direktori Latihan Kemahiran Digital MDEC juga menawarkan kursus berbayar melalui tiga kategori lain iaitu “Kerja dan Belajar”, “Meningkatkan Kerjaya” dan “Latihan atas Permintaan”. 

 

Dilancarkan pada 24 Ogos 2020, Direktori Latihan Kemahiran Digital ini berperanan sebagai panduan sehenti untuk kemahiran semula dan peningkatan kemahiran bagi sektor digital. 

 

Ia menawarkan kursus dan latihan dalam talian yang telah disemak dan diluluskan oleh Rangkaian Tenaga Kerja Berkepakaran (TEN) MDEC, yang terdiri daripada wakil industri dan pakar dalam pelbagai bidang teknologi digital. 

 

Kini, terdapat lebih daripada 300 kursus disenaraikan dalam Direktori Latihan Kemahiran Digital. - DagangNews.com