MEASAT sasar 2 juta pengguna kawasan pedalaman nikmati kemudahan internet untuk tiga tahun akan datang | DagangNews Skip to main content

MEASAT sasar 2 juta pengguna kawasan pedalaman nikmati kemudahan internet untuk tiga tahun akan datang

Yau Chyong Lim (tengah) memberi penerangan mengenai satelit MEASAT ketika lawatan media di ibu pejabat MEASAT, Cyberjaya hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

CYBERJAYA 8 Jun - MEASAT menyasarkan untuk meningkatkan perkhidmatan sambungan jalur lebar menerusi CONNECTMe NOW kepada 2 juta pengguna khususnya kawasan pedalaman yang kekurangan akses tersebut di seluruh negara menjelang 3 tahun akan datang.

 

Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, ketersediaan internet berkelajuan tinggi akan dipertingkatkan daripada kelajuan muat turun semasa dari 30 Mbps kepada 100 Mbps.

 

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah memasang antena CONNECTme NOW di 3,000 kawasan bagi memenuhi keperluan menyediakan akses internet kepada masyarakat luar bandar.

 

"Usaha ini dapat menghubungkan 2 juta rakyat yang tidak mempunyai akses internet kelajuan tinggi. 

 

"Saya berharap penduduk di kawasan pedalaman dapat menikmati kemudahan internet kerana ia sangat penting. Ini kerana internet merupakan utiliti penting selepas bekalan air dan elektrik. Ketika pandemik COVID-19, semua orang menggunakan internet untuk bekerja, belajar atau menjalankan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas lawatan media ke ibu pejabat MEASAT di sini, hari ini.

 

Terdahulu, media dibawa melawat pengoperasian MEASAT untuk kerja-kerja kawalan satelit dan turut diberi penerangan mengenai pelancaran satelit MEASAT-3d.

 

Yau berkata, MEASAT-3d akan dilancarkan pada 22 Jun 2022 yang menawarkan sokongan pemindahan data berkapasiti tinggi, termasuk pancaran internet melalui satelit sehingga 100Mbps, di samping pancaran kandungan untuk televisyen dan telekomunikasi. 

 

 

MEASAT
Ladang satelit MEASAT

 

 

MEASAT
Bilik kawalan operasi satelit MEASAT

 

 

"Melalui satelit ini juga, ia dijangka menghubungkan sekitar 3-5% populasi yang sukar dicapai menggunakan talian fiber di Malaysia.

 

"Bagi mengoptimumkan kapasiti perkhidmatan, MEASAT-3d direka bentuk dengan anggaran jangka hayat selama 18 tahun," katanya.

 

MEASAT-3d yang menelan kos sekitar RM1.2 bilion, merupakan satelit yang paling komprehensif dan kompleks setakat ini di bawah penawaran mereka.

 

 

MEASAT

 

 

MEASAT
Yau Chyong Lim bersama Naib Presiden Bersekutu MEASAT, Ganendra Selvaraj bergambar dengan replika satelit MEASAT-3d.

 

MEASAT-3d yang menggunakan kapasiti 'High Throughput Satellite' (HTS) juga akan menyokong peralihan negara kepada teknologi 5G dengan menawarkan kelajuan internet sehingga 100Mbps di kawasan luar bandar.

 

Satelit tersebut akan menggunakan Eurostar 3000 yang dibina oleh Airbus, dan akan dilancarkan melalui roket Ariane 5 di European Spaceport di Kourou, French Guiana. - DagangNews.com