KUALA LUMPUR 24 Nov. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan terus membantu usahawan dan koperasi meningkatkan keupayaan mereka dalam perniagaan terutama menerusi e-dagang.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian telah mengadakan perjumpaan bersama syarikat atau operator pasaran atas talian (e-dagang) bagi mewujudkan satu kerjasama antara kedua-dua pihak dalam membantu golongan usahawan di negara ini.
Katanya, seramai 13 wakil syarikat-syarikat utama e-dagang yang beroperasi di Malaysia telah hadir di dalam sesi
perbincangan tersebut.
"Kementerian amat prihatin terhadap impak dan kesan penularan COVID-19 ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perusahaan mikro dan koperasi serta golongan usahawan berstatus informal.
"Platform e-commerce yang bakal dilaksanakan ini diharap memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi usahawan PKS dan mikro," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan statistik Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDEC) dan Jabatan Perangkaan (DOSM), sektor e-dagang negara menyumbang sebanyak RM127 billion daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.
Malah, katanya, sektor ini telah juga menunjukkan trend peningkatan dari segi prestasinya, berbanding 2015, yang mencatatkan RM89 billion.
"Menyedari akan kemajuan prestasi dan potensi di sektor e-dagang dalam mengembangkan pasaran komuniti usahawan dan koperasi tempatan, kementerian berhasrat membantu usahawan dalam memperkasakan perniagaan atas talian," katanya.
Antara manfaat yang akan diraih usahawan menerusi platform e-dagang termasuklah memperluas akses usahawan kepada RM150 juta dana sumber pembiayaan alternatif dan membantu usahawan PKS dan mikro yang terkesan ekoran daripada wabak COVID-19 dan PKP untuk bangkit semula memulakan perniagaan.
"Kami juga berharap dapat membantu usahawan PKS dan mikro tempatan yang ditawarkan geran SME Corp. seperti BEEP, untuk memulakan projek sebagai bridging fund," katanya. - DagangNews.com