MEDAC peruntukkan RM20 juta bantu koperasi terjejas | DagangNews Skip to main content

MEDAC peruntukkan RM20 juta bantu koperasi terjejas

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. -  Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperkenalkan Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi berjumlah RM20 juta bagi membantu koperasi yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi , Tan Sri Noh Omar berkata, dalam usaha meningkatkan kembali aktiviti koperasi, empat program turut diperkenalkan iaitu Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR); Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dan Dagang Produk atau Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-Dapat).

Sejajar dengan itu katanya, bagi membantu koperasi khususnya di Kedah, sejumlah RM1.125 juta daripada peruntukan itu diagihkan bagi memberi faedah kepada koperasi dan anggota di negeri itu dengan sebanyak RM 225,000 diberikan untuk JKPR membabitkan 17 koperasi di negeri itu

“Geran ini diberikan untuk membantu koperasi kembali menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih baik selepas negara dilanda pandemik COVID-19.

“Dari perspektif ekonomi pula, ia dapat memupuk semangat koperasi untuk mengeluarkan produk sendiri dalam  pelbagai bidang dan membangunan pendapatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, katanya bagi program KPR sebanyak RM300,000 diberikan kepada tiga koperasi dan TRANSFER pula membabitkan jumlah RM600,000 disalurkan kepada enam koperasi terpilih.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Penyerahan Bantuan dan Pembiayaan Intervensi Pemulih Ekonomi Koperasi Peringkat Negeri Kedah Tahun 2021, di Menara Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad di Alor Setar, hari ini.

Selain itu, Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) berjumlah RM191,300 turut disampaikan kepada tiga koperasi di Kedah yang diluluskan permohonannya oleh SKM. 

Terdahulu, Noh Omar dalam ucapannya berkata kerajaan terus prihatin dan komited dalam membantu 14,629 buah koperasi di negara ini dalam menangani kelembapan operasi perniagaan berikutan PKP.

Katanya, aktiviti koperasi yang terjejas turut memberikan kesan kepada kebajikan 6.48 juta anggota koperasi seluruh negara. -DagangNews.com