Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Dis - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengumumkan Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan moratorium kepada usahawan mikro dan informal yang mendapat pembiayaan daripada agensi-agensi dibawahnya.
Menteri MEDAC, Tan Sri Noh Omar berkata, untuk permulaan, moratorium akan diberikan kepada golongan usahawan mikro dan informal yang melibatkan pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Katanya, Tekun Nasional menawarkan moratorium kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama 6 bulan dan memperuntukkan sejumlah RM30 juta untuk pembiayaan usahawan mikro dan informal yang terkesan dengan banjir.
"Morotorium ini akan memberi manafaat kepada kira kira 4000 usahawan Tekun dan bermula serta merta.
"Manakala AIM akan memberi moratorium secara automatik kepada Sahabat AIM bermula 20 Disember 2021 sehingga 31 Januari 2022," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, Sahabat AIM yang terkesan boleh membuat permohonan untuk menangguh bayaran balik pinjaman sebanyak 4 kali dengan maksimum tempoh penangguhan selama setahun dan membuat penjadualan balik pinjaman sehingga 3 tahun.
Ujarnya, Sahabat AIM yang terlibat dengan banjir juga akan menerima bantuan Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) yang akan diberikan kepada rumah dan projek yang terlibat banjir masing-masing sebanyak RM300.
"Sekiranya terlibat dalam keduanya, mereka layak menerima bantuan sebanyak RM600.
"Bantuan daripada AIM ini akan memberi manafaat kepada 9200 orang Sahabat AIM.
"Ini adalah utk membantu kumpulan Keluarga Malaysia yg terjejas banjir. Semoga sedikit demi sedikit bantuan bantuan ini dapat menjadi permulaan untuk menstabilkan semula aturan perniagaan dan kehidupan," katanya. -DagangNews.com