Media barat dakwa Malaysia beralih kepada pesawat negara lain sebab bermasalah kekalkan keupayaan Sukhoi | DagangNews Skip to main content

Media barat dakwa Malaysia beralih kepada pesawat negara lain sebab bermasalah kekalkan keupayaan Sukhoi

Pesawat Sukhoi SU-30MKM TUDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 23 Feb - Media barat dilihat cuba memberi persepsi negatif terhadap kemampuan Malaysia mengekalkan aset udara buatan Rusia dengan mengaitkan rancangan negara membeli kelengkapan dari negara lain.

 

Malaysia katanya mengalami kesukaran untuk mengekalkan keupayaan pesawat tempur superioriti Sukhoi SU-30MKM berikutan sekatan barat ke atas Rusia.

 

Ini akibat penglibatan negara itu dalam konflik di Ukraine yang mana bayangan perang tersebut telah dirasai.

 

Ia dikaitkan juga dengan keputusan kerajaan membeli pesawat pejuang ringan (LCA) FA-50 dari Korea Selatan sebagai usaha untuk tidak memilih kelengkapan Rusia.

 

Pesawat
Pembelian pesawat Sukhoi SU-30MKM menggandakan keupayaan TUDM.

 

Pesawat
Gambaran grafik pesawat FA-50 dengan lambang TUDM.

 

Artikel bertajuk ‘Malaysia is becoming wary of its Russian-made weapons’ atau ‘Malaysia semakin berhati-hati dengan senjata buatan Rusia’ disiarkan portal pertahanan antarabangsa, Defense News kelmarin.

 

Media tersebut mendakwa telah menemubual seorang juruterbang pesawat Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang identitinya tidak didedahkan.

 

Juruterbang itu ditemui semasa Pameran Udara Singapura 2024 yang mana TUDM menghantar sebuah pesawat Sukhoi SU-30MKM untuk pameran statik.

 

Sukhoi SU-30MKM juga menjadi satu-satunya aset buatan Rusia hadir pada pameran tersebut yang didominasi aset-aset buatan negara Eropah lain.

 

Pesawat
Kru pesawat Sukhoi SU-30MKM bersama pengunjung pada Pameran Udara Singapura di Changi.

 

Menurut artikel itu, Malaysia sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada pembekal Asia yang lain sambil juga cuba membina industri tempatan.

 

Keupayaan pertahanan Malaysia daripada segi sejarah sangat bergantung kepada pembekal asing dan Rusia telah menjadi antara pengedar utama kepada Kuala Lumpur dalam bidang aeroangkasa.

 

Ini nampaknya berubah, kerana pesawat buatan Rusia yang dikendalikan negara itu kini menghadapi beberapa kelemahan. 

 

Sekatan barat terhadap Rusia mewakili salah satu sebab utama mengapa kerajaan ingin membeli di tempat lain, kata juruterbang itu kepada Defense News.

 

Artikel itu juga cuba mengaitkan tindakan Malaysia ini apabila menamatkan khidmat pesawat tempur MiG-29N pada tahun 2017.

 

Pesawat
Pesawat MiG-29N.

 

Sebaliknya keputusan menamatkan pesawat MiG-29N telah diputuskan sejak tahun 2009 apabila TUDM merancang mendapatkan pesawat tempur pelbagai peranan yang lebih moden.

 

Dakwa artikel itu lagi, Malaysia yang melancarkan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 kini sedang mencari ruang untuk meletakkan dirinya sebagai pasaran aeroangkasa terbesar di Asia Tenggara.

 

Ada dua perkara yang boleh dipertikaikan dalam artikel tersebut yang mana ia menunjukkan penulisan ini mungkin direka-reka atau mempunyai kepentingan memandangkan ia disiarkan semasa Pameran Udara Singapura.

 

Pertama, adalah tidak bijak sekiranya benar juruterbang TUDM hendak menyuarakan pandangan sedemikian terutamanya semasa pameran di Singapura walaupun identitinya tidak didedahkan.

 

Ini kerana tidak ramai juruterbang Sukhoi SU-30MKM TUDM yang hadir di sana dan mudah untuk TUDM mengesan identiti tersebut jika temubual itu benar.

 

Pesawat
Penyelenggaraan pesawat Sukhoi SU-30MKM dilakukan oleh pihak ATSC yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam mengendalikan pesawat buatan Rusia di Malaysia.

 

Pesawat
SU-35 merupakan generasi terkini dalam keluarga Sukhoi.

 

Kedua, artikel ini dilihat cuba menunjukkan ketidakupayaan industri pertahanan Rusia dengan mengaitkan Malaysia sebagai berdepan masalah untuk mengekalkan aset buatan negara itu.

 

Jelas, nama TUDM diperdagangkan dengan justifikasi kenyataan daripada temubual bersama seorang juruterbang.

 

Fakta penulisan media barat ini juga jauh tersasar apabila meletakkan Malaysia sebagai pasaran industri aeroangkasa dan pertahanan terbesar di Asia Tenggara.

 

Sedang faktanya adalah Singapura dan Indonesia merupakan dua negara yang mendahului dalam perolehan aset-aset perolehan di rantau ini termasuk aeroangkasa. - DagangNews.com