Media tradisional diramal terus berdepan tekanan sentimen pengguna, perbelanjaan iklan lemah - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Media tradisional diramal terus berdepan tekanan sentimen pengguna, perbelanjaan iklan lemah - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Syarikat media tradisional diramal bergelut dengan tekanan berterusan daripada sentimen pengguna dan perbelanjaan pengiklanan yang lemah, kata Kenanga Research. 

 

Katanya, selain daripada pengendali televisyen siaran percuma, syarikat media tradisional mungkin bergelut untuk memanfaatkan kebangkitan semula dalam perbelanjaan pengiklanan yang diunjurkan berkembang 10.8% pada 2024 kerana berdepan saingan sengit daripada platform media baharu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, boikot besar-besaran terhadap jenama utama juga mengheret perbelanjaan pengiklanan kesan konflik berterusan di Gaza.

 

"Kami percaya syarikat-syarikat ini telah mengurangkan perbelanjaan pemasaran mereka bagi mengimbangi hakisan hasil serta sentimen yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, jenama pengguna global berdepan boikot sengit dan berlarutan di Malaysia disebabkan hubungan mereka dengan Israel di tengah-tengah konflik berterusan di Gaza. 

 

Katanya, jualan di restoran makanan segera multinasional serta pakaian sukan terjejas walaupun terdapat tanda-tanda boikot berkurangan secara beransur-ansur.

 

"Sekiranya konflik itu berterusan, kami tidak menolak kemungkinan pengguna akan mula beralih kepada jenama alternatif tempatan.

 

"Keadaan ini akan mengurangkan perbelanjaan pengiklanan dan sekali gus mengahalang pemulihan dalam sektor media," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘underweight’ terhadap saham media Malaysia sejak ia menurunkan taraf sektor itu daripada ‘neutral’ pada 12 Disember 2023.

 

Katanya, pengguna dijangka terus berdepan tekanan kenaikan kos sara hidup akibat rasionalisasi subsidi yang akan berlaku tidak lama lagi.

 

Selain tekanan hasil, syarikat media tradisional dibebani oleh aset warisan seperti ibu pejabat korporat yang luas, kilang percetakan yang mahal dan tenaga kerja yang terlalu ramai.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan sarann 'underperform' untuk Astro Malaysia Holdings Bhd dan Media Chinese International Ltd manakala saranan 'market perform' kepada Star Media Group Bhd selain 'outperform' bagi Media Prima Bhd. - DagangNews.com