Medical Travel Media Awards dilanjutkan hingga 15 Oktober depan | DagangNews Skip to main content

Medical Travel Media Awards dilanjutkan hingga 15 Oktober depan

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Susulan pengurusan pandemik Malaysia diperakui global, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Sherene Azli, mengambil keputusan untuk melanjutkan tarikh akhir penghantaran penyertaan bagi Medical Travel Media Awards (MTMA2020) kepada 15 Oktober 2020. 

"Pelanjutan ini memberi ruang dan peluang kepada rakan media mempersiapkan laporan mereka merangkumi perkembangan yang lebih terkini berkenaan pelancongan kesihatan yang menjadikan negara lebih dikenali di peringkat antarabangsa," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Sherene Azli
Sherene Azli

 

Majlis penyampaian anugerah berkenaan akan diadakan pada 10 Disember 2020. 

Sebelum ini, Malaysia mengekalkan keunggulannya sebagai negara yang berjaya menguruskan pandemik COVID-19 dengan pencapaian sebanyak 96.6% kadar pemulihan pesakit COVID-19 pada awal 2020.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, angka itu juga telah meletakkan Malaysia di antara negara terbaik menangani pandemik berkenaan, selain mempunyai jumlah pesakit pulih yang direkodkan antara yang tertinggi di dunia.

Malaysia juga telah menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai negara yang paling bersedia untuk berdepan dengan pandemik COVID-19. 

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah turut diiktiraf antara ‘tiga doktor terbaik’ dunia oleh China Global Television Network (CGTN).

Berhubung MTMA2020, sebanyak 10 anugerah akan dipertandingkan dan dianjurkan oleh MHTC pada tahun ini serta disokong oleh Supernewsroom. 

Barisan hakim antarabangsa yang terdiri daripada pakar komunikasi akan membuat penilaian bagi setiap penyertaan di mana salah satu kriteria utama untuk memenangi hadiah wang tunai berjumlah kira-kira RM80,000 adalah artikel yang mendapat perkongsian tertinggi di media sosial. 

Elemen itu terbukti menjadi metrik utama mengukur daya tarikan dalam kualiti kandungan serta gaya penyampaian laporan berita.

Penyertaan mestilah diterbitkan atau disiarkan di antara 16 Julai 2019 hingga 15 Oktober 2020.

Setiap penyertaan perlu dihantar ke Sekretariat selewat-lewatnya jam 5 petang (waktu Malaysia) pada 15 Oktober 2020.

MTMA telah dilancarkan pada tahun 2018 dan mengiktiraf kecemerlangan wartawan yang menghasilkan bahan-bahan tentang industri pelancongan kesihatan negara merangkumi media cetak, televisyen, radio, dan berita dalam talian. 

Penganjur menyasarkan untuk menerima lebih banyak penyertaan antarabangsa bagi MTMA2020 yang didorong oleh pemerhati media massa, selain pengenalan kategori baharu.

Untuk maklumat lanjut tentang MTMA2020 dan menghantar penyertaan, kunjungi laman sesawang https://www.mhtc.org.my/mtma/ atau Facebook MHTC, https://www.facebook.com/MyMTMA/. - DagangNews.com