Mei Han.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Mac. - Platform kereta e-dagang bersepadu terbesar di Asia Tenggara, Carsome melantik Mei Han sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kepada cabang perniagaannya iaitu Carsome Certified.
Mei memiliki pengalaman industri yang luas dengan perkhidmatan dalam industri automotif sepanjang 10 tahun yang lalu.
Beliau juga pernah berkhidmat dalam industri kewangan di China, khususnya dalam bidang modal teroka dan perbankan pelaburan.
Sebelum menerima pelantikan itu, Mei merupakan Pengarah Strategi Platform di Carsome yang bertanggungjawab atas pembangunan produk dan perisikan perniagaan.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, pelantikan Mei penting bagi merealisasikan visi Carsome yang lebih besar iaitu mengembangkan Carsome Certified di Asia Tenggara.
"Ini merupakan sebahagian daripada proses pertumbuhan Carsome, di mana tumpuan syarikat adalah terhadap pengembangan secara vertikal daripada model pengguna-ke-perniagaan (C2B) kepada B2C pada tahun 2021.
“Peranan baharu Mei Han akan selanjutnya menjadi pemangkin kepada pecutan pertumbuhan Carsome tahun ini.
"Saya yakin pengalaman beliau yang luas akan dapat membantu kami dalam memberikan pandangan yang lebih holistik mengenai permintaan pengguna dalam norma baharu ini, di samping mengukuhkan lagi pasukan kepimpinan kami untuk memacu pertumbuhan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Memegang tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Certified, Mei bakal memberi tumpuan ke arah menyepadukan dan mempertingkatkan pengalaman pengguna secara dalam talian dan di luar talian menerusi keupayaan produk, teknologi dan data Carsome.
Beliau menyasarkan untuk membangunkan Carsome Certified sebagai platform e-dagang yang mantap di samping menyediakan tawaran nilai terbaik kepada pengguna dengan bantuan lantikan baharu yang lain, termasuk Pengarah Operasi Carsome Certified, Yuan Li Yu dan Pengurus Besar Carsome Certified Malaysia, Alan Cheah.
"Carsome kini menerajui pertumbuhan industri kereta terpakai yang pesat di Asia Tenggara dan juga telah mengubah tanggapan terhadap penjualan dan pembelian kereta terpakai, daripada proses yang sering dianggap mencurigakan kepada pengalaman yang telus dan mudah.
"Kami berada di kedudukan yang terbaik untuk menyepadukan proses yang dilalui oleh pengguna serta membawakan penyelesaian yang bermakna dan impak yang positif.
"Saya berasa teruja untuk meningkatkan pertumbuhan Carsome menerusi pengembangan Carsome Certified, pada masa yang sama memperkenalkan pengalaman pembelian kereta terpakai yang lebih baik di rantau ini," kata Mei. - DagangNews.com