Melonjak potensi pelaburan langsung domestik melalui pemerkasaan Pusat Sehenti PBT | DagangNews Skip to main content

Melonjak potensi pelaburan langsung domestik melalui pemerkasaan Pusat Sehenti PBT

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya pada 25 April 2022.
Oleh Mohamad Iman

PUTRAJAYA 25 April - Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membincangkan perkara pelaburan langsung domestik (DDI) menerusi pemerkasaan pusat sehenti (OSC) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

Menurut Ismail Sabri, negara yang kini dalam fasa “Peralihan ke Endemik” dan DDI adalah elemen terpenting dalam pemulihan ekonomi. 

 

Sehubungan itu ujar beliau, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa  dan Industri (MITI) akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) khususnya dalam memperkasakan DDI.

 

Antara cadangan tersebut termasuklah:

  • melaksana kajian berkaitan inisiatif bagi mengurangkan 50% kekangan birokrasi;

  • melakukan penyatuan dan penyelarasan insentif pelaburan;

  • merekayasa proses pengurusan buruh asing serta

  • menyediakan pelan tindakan untuk mengembang rangkaian ‘perusahaan kecil dan sederhana dengan pelaburan langsung asing’ (PKS-FDI).

 

''Bagi melonjakkan potensi DDI, Kerajaan akan terus komited memperbaiki kualiti perkhidmatan PBT khususnya memperkasakan pelaksanaan OSC 3.0 kepada OSC 3.0 Plus agar sentiasa efisien, cepat dan telus,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

OSC 3.0 Plus adalah prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undang-undang semasa bagi mengawal selia dan memudah cara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki menggunakan aplikasi digital sepenuhnya di semua 98 PBT di Semenanjung Malaysia.

 

Penambahbaikan tersebut melalui pengenalan Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan penekanan kepada aspek ‘teach in’, pengurusan aduan dan sesi libat urus pemegang taruh termasuk membangun mekanisme pusat sehenti pelesenan secara digital.

 

 

PM

 

 

Perdana Menteri berkata, proses pemulihan ekonomi negara kini berada pada momentum terbaik.

 

''Kerajaan komited untuk memastikan DDI terus dirangsang dengan mengambil pendekatan mempermudahkan urusan para pemain industri. Kerajaan sentiasa  mendengar cadangan daripada semua pihak untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia,'' ujarnya. - DagangNews.com