Melonjak tangga ke-27 ekonomi paling kompetitif di dunia, isyarat prestasi baik untuk Malaysia pada masa akan datang - penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Melonjak tangga ke-27 ekonomi paling kompetitif di dunia, isyarat prestasi baik untuk Malaysia pada masa akan datang - penganalisis ekonomi

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 21 Jun – Kejayaan Malaysia melonjakkan kedudukannya ke tangga ke-27 tahun ini berbanding tangga ke-32 di dalam senarai ekonomi paling kompetitif di dunia pada tahun lepas, menggambarkan prestasi yang baik untuk negara pada masa akan datang.

 

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, peningkatan dalam kedudukan negara itu juga memberi isyarat bahawa dalam jangka masa panjang, Malaysia berada di laluan pertumbuhan yang tepat.

 

"Walau bagaimanapun beberapa kejutan atau gangguan telah berlaku di Amerika Syarikat serta Eropah, justeru sasaran ekonomi negara dalam jangka pendek memerlukan dasar yang ampuh," beliau memberitahu DagangNews.

 

Menurut Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2023 yang telah mengeluarkan senarai ekonomi paling kompetitif di dunia, kedudukan daya saing global Malaysia telah meningkat lima mata kepada 27 daripada 32 tahun lepas.

 

WCR ialah inisiatif oleh Pusat Daya Saing Dunia (WCC) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), yang merupakan laporan tahunan terkemuka mengenai daya saing negara yang diterbitkan sejak 1989.

 

WCR IMD adalah berdasarkan 336 kriteria daya saing yang dikategorikan kepada empat faktor: prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.


 

 Muhammad Ridhuan Bos Abdullah
                   Muhammad Ridhuan Bos Abdullah

 


Berada di kedudukan 27 dalam kalangan 64 ekonomi, Malaysia mencatatkan peningkatan dalam keempat-empat faktor daya saing, menandakan kemajuan negara yang memberangsangkan dan berdaya tahan terhadap kesan berlarutan ketidaktentuan dan krisis ekonomi global, dan pelbagai cabaran dalam negeri.

 

Muhammad Ridhuan yang juga terlibat di dalam usaha bersama Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memperbaiki perundangan perniagaan di negara ini, berkata sub-faktor yang dilaporkan kurang prestasi seperti peraturan perniagaan dan pendidikan juga telah bertambah baik.

 

"Bagaimanapun, perubahan struktur dalam kementerian untuk menangani "societal framework" mungkin boleh menghasilkan natijah yang lebih positif dalam jangka panjang.

 

“Kita harus mempertimbangkan usaha mewujudkan kem perpaduan dan sebagainya," jelas beliau.

 

Terdahulu, IMD berkata walaupun Malaysia menyaksikan kedudukannya meningkat kepada ke-27 daripada ke-32 pada 2022, cabaran utama tahun ini dari segi menjadi ekonomi yang lebih berdaya saing ialah pembangunan bakat tenaga kerja sedia industri, fikiran mengutamakan digital untuk sektor, pembaharuan kawal selia untuk kemudahan menjalankan perniagaan di peringkat nasional dan sub-nasional dan mengejar pembangunan mampan.

 

"Bidang kekuatan Malaysia di mana ia menunjukkan prestasi yang baik ialah harga, infrastruktur asas dan dasar cukai," kata badan antarabangsa tersebut.

 

Malaysia juga dilaporkan tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam kedudukan sub-faktor perundangan perniagaan, pendidikan dan kerangka kemasyarakatan. - DagangNews.com