Memastikan kemampanan industri kelapa sawit Malaysia, boikot bukan jalannya | DagangNews Skip to main content

Memastikan kemampanan industri kelapa sawit Malaysia, boikot bukan jalannya

Seorang pekebun kecil, Muharram Sompo di kebun bio yang diusahakannya menerusi bimbingan Wild Asia di Kinabatangan, Sabah. Kebun bio adalah langkah seterusnya bagi kemampanan jangka panjang industri sawit.
Oleh M. HERMAN HAMID yang mengikuti lawatan ke beberapa kebun kecil sawit di Kinabatangan anjuran Wild Asia

SAWIT bagi rakyat Malaysia adalah sebuah kehidupan. Tanaman itu mata pencarian bagi ratusan ribu orang dalam rantaian bekalan komoditi itu bagi menyara keluarga. Ini termasuk lebih 400,000 pekebun kecil di seluruh negara.

 

Walau bagaimanapun sawit daripada persepektif Barat dicemuh sebagai tanaman penuh kontroversi. Dahulunya dituduh minyak yang berbahaya dari sudut kesihatan, konon tidak setanding minyak soya dan lain-lain.

 

Kemudian apabila serangan ini ditangkis penyelidik-penyelidik Malaysia secara saintifik, mereka cari ‘salah’ lain pula. Isu hak buruh, sosial dan alam sekitar kini didendang tanpa henti sehingga membawa penggubalan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR). 

 

 

 

Bukan mahu berdalih, tetapi isunya benarkah? Hakikatnya Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip kelestarian dan undang-undang juga tidak mahu hal-hal yang dituduh itu berlaku.

 

Sebab itu sudah banyak langkah diambil bagi mengatasi isu-isu yang timbul daripada industri sawit yang mana Malaysia pengeluar kedua terbesar komoditi itu.

 

Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) antara usaha yang dilakukan dengan meletakkan satu standard kelestarian yang sangat tinggi. Bahkan MSPO dalam banyak perkara menyamai standard pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit (RSPO) - satu lagi piawaian peringkat antarabangsa.

 

Pada saat ini, pemain utama industri sawit di Malaysia yang mempunyai pasaran di luar sudah memenuhi piawaian tersebut yang menekankan aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar. 

 

Tinggal lagi sebahagian pekebun kecil sawit yang belum mencapai piawaian MSPO dan RSPO. Di sinilah menuntut peranan semua pihak, bukan sahaja pihak berkuasa tetapi juga bijak pandai, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

john
John Howes menerangkan mengenai usaha menghidupkan tanah seperti mana semula jadi.

 

Antara ke hadapan di lapangan ialah Wild  Asia - sebuah pertubuhan sosial yang ditubuhkan lebih dua dekad lalu. Bagi mereka, ini bukan soal siapa tetapi masa depan pekebun kecil dan ahli keluarga yang bergantung rezeki kepada komoditi ini.

 

Awalnya Wild Asia membantu pekebun kecil dari segi bimbingan untuk memenuhi piawaian MSPO yang antara lain menekankan amalan pertanian baik.  

 

Kini setelah adanya pihak berkuasa yang khusus berkenaan MSPO, Wild Asia beralih pula membantu pekebun kecil dari aspek memenuhi pengiktirafan antarabangsa iaitu RSPO.

 

Pengurus Besar Wild Asia, Dr Lee Kim Huat dalam satu pertemuan dengan sekumpulan wartawan tempatan dan luar negara di Sandakan memulakan taklimatnya dengan bertanyakan sama ada benar sawit melibatkan penebangan hutan.

 

Melihat ada yang ragu-ragu menjawab ya, Dr Lee secara berseloroh ‘anda memang pro Malaysia’.

 

Beliau menjelaskan bahawa memang hakikat sawit dan pembukaan tanah beberapa dekad lalu adalah benar. Cuma beliau meluruskan fakta berkenaan sawit dan pembukaan tanah yang banyak sangat menyimpang.   

 

Antaranya aspek hipokrasi Barat - jika mahu boikot produk mengandungi sawit atas nama penebangan hutan maka yang berada dalam senarai no 1 ialah industri penternakan.

 

“Ini kerana penebangan hutan untuk pertanian yang paling banyak adalah disebabkan penternakan lembu, jauh melebihi sawit” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hentikan jualan produk label 'tanpa minyak sawit' atau berdepan tindakan - API

 

Berdasar laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO),dunia kehilangan 420 juta hektar hutan antara tahun 1990 dan 2020 dengan penyumbang terbesar industri penternakan terutama di Amazon.

 

Dalam beberapa laporan penyelidikan, sawit dianggarkan menyumbang kira-kira 10% kepada pembukaan tanah, sedikit tinggi berbanding minyak sayuran lain.

 

Namun, jangan dilupa yang sawit adalah tanaman yang efisien dari segi keluasan. Satu hektat sawit menghasillan berkali-kali ganda pengeluaran berbanding soya. 

 

"Hasil minyak sawit pada masa ini berpurata 3.31 tan metrik sehektar (MT/ha), jauh lebih tinggi daripada kacang soya (0.43 MT/ha); biji sesawi (0.78 MT/ha); dan bunga matahari (0.76 MT/ha).

 

"Ini bermakna ia menggunakan lebih sedikit tanah, baja dan input lain, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani baru-baru ini.

 

wartawan
Wartawan temapatan dan antarabangsa yang mengikuti lawatan Wild Asia ke Kinabatangan turut dibawa ke pusat pengumpulan yang mempunyai peranan dalam kemampanan sawit.

 

Sebab itu sawit adalah anugerah bukan sahaja kepada Malaysia tetapi kepada seluruh umat manusia. Bukan hanya minyak masak tetapi kegunaan sawit merangkumi banyak perkara dan terdapat dari produk makanan sehingga kosmetik.

 

Pergantungan kepada sawit sangat tinggi dan tidak mampu pun digantikan mana-mana minyak makanan lain. Cumanya pendekatan Malaysia dalam berdepan songeh Barat ialah air dengan api.

 

Bukan tunduk, tetapi Malaysia juga ada kelas kerana apa yang dibangkitkan sama ada kebajikan mahu pun alam sekitar juga menjadi agenda negara. 

 

RSPO antara lain meletakkan syarat pengumpulan data dan pengauditan bagi pekebun kecil yang menjadi sedikit kesukaran buat pekebun kecil.

 

Namun menerusi Wild Asia Group Scheme atau WAGS, lebih 1,000 pekebun sudah dibantu mendapat pengiktirafan tersebut.

 

“Usaha secara berkumpulan seperti ini memudahkan pekebun kecil untuk mengikuti kehendak RSPO,” kata Dr Lee.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MSPO `tidak mampan’ jadi alasan terbaharu EU mahu gagalkan eksport minyak sawit Malaysia ke Eropah?

 

ikan

 

Ke hadapan, Wild Asia giat mempromosikan kebun bio atau biofarm dalam kalangan pekebun kecil terutama di Sabah. Kebun sebegini mengelakkan pergantungan kepada bahan kimia yang menjadi sebahagian daripada industri sawit.

 

Sudah tentu ini satu perjalanan panjang yang tidak mampu dicapai dalam sekelip mata. Usaha ini memerlukan komitmen dan paling penting perubahan minda.

 

Namun, dengan bimbingan berterusan, ia mampu dilakukan. Kaedah biologi semula jadi adalah jawapan untuk apa langkah seterusnya.

 

Memanfaatkan bahan buangan daripada aktiviti ekonomi setempat seperti menukar sisa ikan kepada baja adalah salah satu contoh usaha yang boleh dilakukan.

 

bio
Petugas Wild Asia menunjukkan kaedah biochar yang sangat penting kepada kebun bio.

 

Begitu juga usaha menghidupkan tanah kembali kepada fitrahnya atau living soil dengan teknik-teknik biologi menggunakan sisa kebun seperti pelepah sawit sehinggalah biochar.

 

Malah mengatasi ancaman makhluk perosak menggunakan kaedah biologi menerusi tanaman tertentu juga boleh dilakukan bagi menggantikan racun.

 

"Jika kita lihat di Eropah, produk sayur dan buah organik dijual pada harga lebih tinggi dan ini jika dicapai dalam sektor sawit, sudah tentu memberi satu dorongan yang diperlukan untuk pekebun kecil beralih kepada biofarm," kata John Howes, penasihat ekologi Wild Asia.

 

Setakat ini, beberapa pekebun kecil di Kinbatangan, Sabah menyahut seruan beralih kepada biofarm bagi seluruh atau sebahagian kebun mereka.

 

Hasilnya baik cuma yang diperlukan ialah kemahuan tinggi kerana ia memerlukan sedikit usaha.

 

Ini seperti dilakukan oleh Muharram Sompo yang mengusahakan lebih 1 hektar sawit secara bio. Wartawan dibawa meninjau sendiri kebun bio yang jelas berbeza dengan mana-mana ladang komersial.

 

Jika sebuah firma perladangan sawit sudah memulakan projek penanaman sawit secara organik, pekebun kecil juga tidak harus ketinggalan dalam peluang untuk merebut pulangan lebih baik.

 

laran
Penasihat Wild Asia, Peter Chang bersama pegawainya menerangkan kaedah penanaman laran di kebun sawit peserta.

 

Bagi memenuhi agenda kemampanan tersebut, Wild Asia bersama pasukan pakar mereka telah giat menyarankan penanaman pokok kayu lembut dikenali laran dalam kalangan pekebun kecil.

 

Pokok ini terbukti tidak bersaing dengan sawit dan pada masa sama apabila mencapai satu tempoh dapat ditebang dan dijual kepada industri papan lapis sebagai satu 'bonus' - pendapatan tambahan.

 

Realitinya, banyak industri yang berkehendakkan sawit mampan dan ditanam dengan kaedah lebih mesra alam bagi memenuhi citra semasa walaupun dengan membayar harga lebih tinggi. 

 

Ini adalah peluang bagaimana dengan keluasan tanaman yang sama tetapi pendapatan pekebun bertambah menerusi pengeluaran buah sawit mampan.

 

Matlamat semua adalah memastikan kehidupan selesa dengan para pekebun tidak perlu lagi membuka tanah apatah lagi hutan untuk penanaman.

 

kina
Sungai Kinabatangan menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia kerana bidodiversiti.

 

Sawit adalah keperluan manusia, memboikot produk mengandungi minyak sawit bukan jawapannya tetapi yang tepat adalah memastikan sawit diusahakan secara mampan.

 

Pengekalan hutan bukan sahaja satu polisi Malaysia tetapi juga sumber rezeki kepada sebahagian rakyat seperti mana di Kinabatangan yang menyaksikan kunjungan pelancong seluruh dunia melihat gajah pygmy, orang utan dan monyet Belanda.

 

Ironinya Kinabatangan juga lokasi kepada tanaman sawit, dan tanggungjawab semua memastikan ia diuruskan secara mampan untuk kepentingan semua termasuk alam semula jadi.

 

Di pihak kerajaan dalam melindungi industri sawit dan pekebun kecil, usaha-usaha akan terus diperukuhkan dan menambah baik pelaksanaan pensijilan  MSPO untuk memenuhi keperluan  EUDR.

 

"Ia terutama berkaitan elemen kebolehjejakan, bebas penyahhutanan, pemilikan sah ke atas tanah dan amalan buruh yang baik supaya minyak sawit negara diterima baik di seluruh pasaran dunia," kata Johari di Parlimen minggu lalu- DagangNews.com