Mempelajari kaedah Internet of Plant diguna petani Jepun, pelajar UPM yakin boleh diaplikasi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Mempelajari kaedah Internet of Plant diguna petani Jepun, pelajar UPM yakin boleh diaplikasi di Malaysia

`Ladang tomato' di Rumah hijau Shimanto Mihara Vegetable Garden yang menggunakan teknologi Internet of Plant. - Gambar RoderickWols🇳🇱🇨🇳
Oleh Nurul Ezzaty Mohd Azhari

EKSPLORASI Pertanian di Jepun oleh pelajar tahun 2, Bacelor Sains Pengurusan Perladangan (BSPP), Fakulti Pertanian (FP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Tamilarasan a/l E Nagarajan telah memperkenalkannya terhadap inovasi baharu pertanian yang berpotensi diaplikasikan di Malaysia.

 

Bak kata pepatah ‘jauh perjalanan, luas pemandangan’ dan begitulah pengalamannya selama seminggu telah memberikan Tamilarasan input berharga terhadap inovasi terkini dalam sektor pertanian di negara matahari terbit itu.

 

 

upm
Tamilarasan a/l E Nagarajan membentangkan hasil kajiannya di Shimanto Mihara Vegetable Garden, Jepun

 

upm

 

 

“Kunjungan ke Shimanto Mihara Vegetable Garden yang merupakan sebuah rumah kaca pertanian sangat memukau mata setelah melihat penggunaan teknologi pertanian yang membantu produktiviti pengeluaran sayuran di sana.

 

"Saya telah diperkenalkan dengan konsep Internet of Plant (IoP) bagi membantu pengelolaan tanaman yang lebih efektif melalui penggunaan sensor dan teknologi terkait," katanya.

 

Jelasnya, penggunaan IoP menandai langkah penting bidang pertanian dan perlu untuk diaplikasikan di Malaysia.

 

 

upm

 

upm

 

 

IOP memberikan banyak manfaat seperti membolehkan pemantauan tanaman secara berterusan, pengurangan pembaziran air dan peningkatan produktiviti pertanian melalui analisis data secara masa sebenar.

 

“Saya turut mempelajari pertanian pintar, perhutanan pintar, dan perikanan pintar. Secara keseluruhnnya ia menunjukkan komitmen Jepun dalam mengembangkan sumber alam dan pertanian bagi memajukan sektor ini di negara mereka.

 

“Saya yakin dengan konsep ini akan menjadi landasan bagi masa hadapan pertanian yang boleh diaplikasikan di Malaysia,” katanya yang sangat terinspirasi dengan inovasi pertanian di Kochi, Jepun.

 

Kembara ilmu pertaniannya di Jepun adalah menerusi program Sakura Science yang ditaja sepenuhnya oleh Japan Science and Technology Agency dan Kochi University.

 

 

upm

 

 

“Saya sangat berterima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu atas kesempatan dan peluang membenarkan saya ke sana bersama seorang lagi rakan saya, Eswaran di Fakulti Sains,” katanya. - DagangNews.com