Memperkasa inovasi dan daya cipta dalam kalangan pendidik universiti awam | DagangNews Skip to main content

Memperkasa inovasi dan daya cipta dalam kalangan pendidik universiti awam

Pendidik sepatutnya lebih bijak dengan mengadaptasi budaya inovasi, daya cipta dan kreativiti bagi membantu kecemerlangan universiti dan memacu kompetensi kerjaya.. - Gambar hiasan UiTM
Oleh Norazlinda Mohammad

GEDUNG universiti awam merupakan tempat percambahan ilmu bukan sahaja di dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) malah juga di dalam bidang penyelidikan, inovasi, reka cipta dan perundingan.

 

Lazimnya pendidik dipertanggungjawab bukan sahaja mengajar mahasiswa-mahasiswi malah digalakkan aktif berkecimpung di dalam inovasi dan pengkomersialan produk reka cipta yang dihasilkan melalui idea inovatif, kreativiti dan semangat berpasukan.

 

Berdasarkan Kamus Dewan, Inovasi bermaksud menghasilkan sesuatu yang baharu dan memberi penambahbaikan sesuatu produk melalui daya kreativiti dengan menggunakan teknologi atau gajet.

 

Budaya inovasi ini bukan perkara yang baharu kerana ia sudah disertai oleh pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, pendidik profesional dan juga tenaga mahir dari sektor industri tempatan, swasta dan antarabangsa.

 

Dasar Memperkasa sektor Inovasi dan Daya Cipta dalam kalangan komuniti Universiti

Pembudayaan inovasi dan daya cipta ini juga menyokong hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam enam rukun Malaysia Madani yang digariskan iaitu salah satunya ialah daya cipta. Ia memacu kemahiran berfikir dengan hasil kerja penyelidikan, penerbitan dan membangunkan produk inovasi yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat global.

 

Selain itu, dengan memperkasakan inovasi dan daya cipta juga menyahut saranan Kementerian Pendidikan Tinggi yang ditekankan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir iaitu Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi.

 

 

Norazlinda Hj Mohammad
                    Norazlinda Mohammad

 

 

Ini bukan sahaja menyokong dasar pandang ke hadapan iaitu dengan mempunyai daya imaginasi tinggi yang perlu ada oleh seorang pencipta (inventor) bagi membantu negara Malaysia agar lebih maju dan berdaya saing dengan negara-negara luar di dalam aspek inovasi, kreativiti, reka cipta dan teknologi seiring dengan revolusi perindustian IR 4.0.

 

Garapan dan sentuhan teknologi digital ICT serta teknologi pintar atau kecerdasan buatan, (AI) Internet of Things (IoT) dan lain-lain membantu merancakkan lagi pelbagai penghasilan produk inovasi yang bermutu dan canggih. Contohnya penghasilan teknologi robotik, dron, mesin berteknologi digital atau alat cipta yang inovatif, berinformatif, membantu menjimatkan masa, mempercepatkan penghasilan pengeluaran dan memudahkan pekerjaan manusia.

 

Kerajaan juga menjalankan inisiatif melalui semua jabatan dengan mengadakan kursus dan bengkel bagi menerapkan elemen inovatif dan kreatif dalam bidang perkhidmatan dan penghasilan produk. Contohnya, dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang menekankan
pembangunan modal insan yang inovatif dan kreatif dan berfikiran ke hadapan.

 

Produk yang berkualiti dan mendapat kemenangan dalam pertandingan inovasi dan reka cipta serta diiktiraf di peringkat antarabangsa boleh diperluaskan dengan pengkomersialan untuk sektor keusahawanan yang membantu kemajuan dan menjana pendapatan negara.

 

Inovasi, daya cipta dan kreativiti adalah elemen yang penting yang bukan sahaja memberi impak yang besar kepada seseorang individu tetapi juga membantu mempertingkatkan kemahiran kerjaya seseorang pendidik serta organisasi bahkan mengharumkan nama negara.

 

Bukan mudah untuk menjadi pereka cipta kerana ia memerlukan daya usaha, pemikiran yang jitu, pengurusan masa, tenaga kepakaran dan sinergi iaitu kolaborasi dan kerjasama dari rakan sepasukan daripada pelbagai bidang atau fakulti yang berlainan.

 

Pepatah Melayu ada mengatakan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Contoh Inovasi dan Daya cipta yang dihasilkan oleh Pendidik Kolaborasi penyelidikan yang bertajuk ‘Inovasi Beg Haji I-Pro bagi Agensi Pelancongan mengenai Kesedaran Penjagaan Kesihatan untuk Jemaah Haji' yang dihasilkan oleh sekumpulan pendidik UiTM telah mengambil masa beberapa bulan untuk menyiapkan produk bag yang bercirikan video
informasi kesihatan berpandukan kepada Lembaga Tabung Haji Malaysia dan digabungkan dengan gajet teknologi semasa.

 

Kumpulan penyelidik ini telah memperkenalkan produk inovasi mereka tersebut untuk dipertandingkan dalam kategori Inovasi Sustainable Development Goals (SDG) Good Health and Well being. Mereka telah membuat penambahbaikan inovasi dan kreativiti di dalam penghasilan bag dan memenangi pingat perak di dalam pertandingan Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) di peringkat antarabangsa.

 

Produk tersebut juga meraih kemenangan pingat perak di Kejohanan Inovasi Antarabangsa IIDEA Perlis 2020 dan Pertandingan Inovasi V-MiiEx Melaka 2021 melalui penghasilan video animasi kesihatan I-Pro Hajj.

 

Produk ini juga telah berjaya mendapat sijil hak cipta dari agensi MyiPO bagi memelihara hak cipta. Bahkan, hasil kajian ini boleh dipasarkan untuk kegunaan jemaah haji dan umrah sekaligus memberi manfaat yang baik serta pembangunan holistik kepada institusi pendidikan, masyarakat, agama dan negara.

 

Pertandingan Inovasi semakin berkembang pesat

Universiti Teknologi Mara (UiTM) sememangnya menyediakan platform pertandingan inovasi di peringkat tempatan dan antarabangsa. Contohnya pertandingan IIDEX, MIIEX, RIID dan lain-lain yang memberi impak dan galakan bagi pendidik universiti awam untuk mencuba nasib dan berdaya saing.

 

Ekspo Pameran Teknologi Malaysia (MTE) juga menawarkan peluang kepada pereka cipta untuk bertanding secara kompetitif. Ia memberi kesempatan kepada peserta untuk mengumpulkan idea, menghasilkan produk yang inovatif dan berkualti hasil dari inspirasi dan skala antarabangsa untuk keperluan pengkomersialan.

 

Kebiasaannya, pertandingan MTE terbuka kepada semua jenis produk dan teknologi yang kreatif, inovatif dan bermutu
berdasarkan tema pembangunan mampan atau SDG. Ia juga sebagai platform bagi penyelidik menjalin rangkaian, kerjasama, perkongsian, pertukaran pendapat dan membuka peluang yang baik untuk berkolaborasi dengan industri.

 

Terdapat pelbagai kategori boleh disertai iaitu peringkat profesional, sekolah dan institusi pengajian tinggi dari pelbagai sektor awam, swasta, industri tempatan dan antarabangsa. 

 

Pendidik seharusnya merebut peluang dengan menyertai pertandingan inovasi dan lebih berdaya saing bagi mengasah kemahiran berfikir dengan mencipta produk yang berkualiti dan sama-sama bantu memperkasakan budaya reka cipta yang disarankan berdasarkan lima fokus utama yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

 

Tuntasnya, pendidik sepatutnya lebih bijak dengan mengadaptasi budaya inovasi, daya cipta dan kreativiti bagi membantu kecemerlangan universiti dan memacu kompetensi kerjaya.

 

Landasan ini penting bagi membina masyarakat yang berminda kreatif dan melahirkan modal insan yang sentiasa berdaya saing dan seterusnya membantu merancakkan pembangunan negara di dalam sektor ekonomi, pengkomersialan melalui penghasilan produk inovasi dan daya cipta yang berkualiti, diiktiraf serta mampu menembus
pasaran global. - DagangNews.com

 

 

Norazlinda Hj Mohammad adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka