KUALA LUMPUR 12 Okt - APB Resources Bhd merancang untuk mengambil alih Menara Serba Dinamik 16 tingkat di Shah Alam, Selangor, bersama-sama dengan tanah pajakan berharga RM38 juta, tertakluk kepada kelulusan Mahkamah Tinggi.
Pembuat peralatan proses itu berkata, pihaknya menerima surat daripada pelikuidasi Serba Dinamik Group Bhd semalam memaklumkan pihaknya telah menerima borang saman salinan berkaitan permohonan pelikuidasi bagi mendapatkan arahan mengenai penjualan tanah seluas 3,025 meter persegi itu bersama bangunan pejabat yang didirikan di atasnya.
"Pertimbangan pembelian RM38 juta itu diperoleh berdasarkan asas 'seadanya-di mana ada' selepas rundingan panjang lebar dan selepas mengambil kira nilai buku bersih dan nilai pasaran hartanah tersebut," kata syarikat itu dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia.
APB yang berpangkalan di Shah Alam berkata, pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan itu menggunakan hartanah itu untuk tujuan sendiri dan menjana pendapatan dengan menyewakannya.
Ia menambah bahawa transaksi yang dicadangkan itu dijangka selesai sebelum 30 November 2023. - DagangNews.com