Mengapa ramai anak muda belum mampu beli rumah sendiri? | DagangNews Skip to main content

Mengapa ramai anak muda belum mampu beli rumah sendiri?

Oleh Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin

HARI DEMI HARI, ramai anak muda yang menghadapi kesukaran untuk membeli rumah mereka sendiri. Perkara ini akhirnya menjadi satu trend yang mencetuskan banyak perbincangan dalam kalangan masyarakat tentang bagaimana generasi ini menguruskan hal ekonomi mereka.

 

Biarpun bermacam inisiatif telah diambil oleh kerajaan dalam membantu golongan ini, seperti memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara dengan harapan dapat memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan mereka, namun isu tersebut masih terus membelenggu golongan ini termasuk yang telah berumah tangga sekalipun tanpa tanda-tanda akan selesai dalam masa yang terdekat.

 

Justeru itu, timbul satu persoalan yang cukup signifikan tentang mengapa anak muda hari ini sukar untuk memiliki rumah idaman mereka sendiri. Mari kita bersama meneliti faktor yang menyumbang kepada berlakunya permasalahan ini.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), Datuk NK Tong, beliau berkata kekurangan simpanan mahupun gaji yang rendah menjadikan kumpulan ini tidak mampu untuk membeli rumah.

 

Tambah beliau lagi, "Malaysia mempunyai antara kadar pemilikan rumah tertinggi di dunia dengan lebih 70% rakyat mempunyai kediaman sendiri.

 

Namun mereka yang tidak memiliki rumah lazimnya golongan belia. Salah satu sebab mengapa mereka belum mampu membeli rumah sendiri kerana dikatakan rata-rata mereka baru sahaja memulakan kerjaya.

 

Sekali gus ini menyebabkan mereka tidak berkemampuan untuk membeli rumah sendiri. Pada masa yang sama, mereka lebih selesa berbelanja dengan cara lain yang bersifat lebih sekadar memenuhi keinginan seperti melancong, membeli gajet dan seumpamanya.


 

parafrasa

 


Kecenderungan mereka yang suka mengutamakan perkara lain berbanding pemilikan rumah telah membuatkan ramai antara mereka terpaksa menanggung beban hutang untuk tempoh yang lama sehingga menghalang mereka membeli kediaman walaupun usia semakin meningkat.

 

Faktor utama yang sering dikaitkan tentang mengapa anak muda pada hari ini tidak mampu membeli rumah sendiri adalah isu kewangan.

 

Menyedari tanggungjawab kewangan yang besar dengan pembelian rumah, ramai anak muda tidak mampu untuk menyediakan wang muka yang diperlukan atau menanggung beban ansuran bulanan yang tinggi.

 

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, kenaikan harga hartanah melebihi kadar pertumbuhan pendapatan rakyat, yang menjadikan rumah semakin tidak terjangkau oleh golongan muda.

 

Selain itu, ketidakstabilan pekerjaan juga menjadi faktor penting yang mempengaruhi keupayaan anak muda untuk memiliki rumah.

 

Dalam era ekonomi yang berubah dengan cepat, ramai anak muda di luar sana menghadapi kesulitan untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil dan berpendapatan yang mencukupi untuk memenuhi syarat pinjaman perumahan.

 

Secara tidak langsung, ia mengakibatkan ketidakpastian dalam merancang untuk memiliki rumah sendiri.

 

Perubahan dalam gaya hidup juga berperanan dalam penundaan pembelian rumah dalam kalangan anak muda.

 

Majoriti daripada mereka lebih cenderung untuk mengutamakan pengalaman hidup dan kebebasan daripada memiliki aset utama seperti rumah.


 

parafrasa

 


Aktiviti seperti berhibur, melabur dalam pelaburan alternatif lebih digemari mereka daripada melabur dalam hartanah.

 

Anak muda juga sering kali memikul beban hutang yang tinggi, terutamanya hasil daripada pendidikan tinggi yang memerlukan pinjaman pendidikan.

 

Sebelum mereka dapat memikirkan untuk memiliki rumah, mereka perlu menyelesaikan hutang pendidikan yang besar terlebih dahulu. Ini menjadikan proses membeli rumah menjadi lebih tertangguh.

 

Ketidakpastian ekonomi masa hadapan juga merupakan faktor yang menyumbang kepada penangguhan pembelian rumah dalam kalangan anak muda.

 

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, ramai yang bimbang tentang kestabilan kerjaya dan pendapatan mereka pada masa akan datang. Ini menyebabkan mereka lebih berhati-hati dalam membuat keputusan besar seperti pembelian hartanah.

 

Dr Azizul Azli, pensyarah kanan di Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar juga menyatakan angka kenaikan gaji lebih kurang 2% sahaja setahun berbanding kenaikan nilai hartanah yang melonjak antara enam atau lapan peratus setahun.

 

Bayangkan jika dalam tempoh dua tahun sahaja sudah jadi 12% kenaikan, sedangkan gaji baru naik 4%. Situasi ini tanpa disedari sebenarnya semakin memburukkan keadaan kewangan mereka.

 

Apa yang lebih parah lagi, peningkatan kos sara hidup juga merupakan antara halangan yang besar bagi anak muda dalam membeli rumah.

 

Kos sara hidup yang meningkat, termasuk harga makanan, barangan harian dan perkhidmatan asas yang lain, menyebabkan anak muda terpaksa mengutamakan kepada keperluan harian mereka terlebih dahulu daripada menabung untuk pembelian rumah.

 

Melihat kepada perspektif yang berbeza, anak muda yang tinggal di bandar besar juga menghadapi cabaran tersendiri dalam membeli rumah.

 

Harga hartanah yang tinggi di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur atau Pulau Pinang membuatkan anak muda sukar untuk memiliki rumah di lokasi yang mereka inginkan.

 

Ini memaksa mereka untuk memilih lokasi yang jauh dari bandar, yang mungkin tidak sesuai dengan gaya hidup atau keperluan mereka.

 

 

parafrasa

 

 

Bagi sebahagian anak muda, tanggapan bahawa menyewa adalah lebih mudah dan fleksibel daripada memiliki rumah juga kelihatan menjadi penghalang utama dalam pembelian rumah mereka sendiri.

 

Mereka melihat pembelian rumah sebagai komitmen jangka panjang yang memerlukan banyak pertimbangan, sementara menyewa membolehkan mereka untuk lebih mudah berpindah jika terdapat peluang kerja yang lebih baik atau perubahan dalam gaya hidup.

 

Kenyataan ini disokong dengan kajian yang dilakukan Dr Mohammad Mujaheed Hassan, pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah/Pembangunan Komuniti, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati orang muda lebih gemar menyewa disebabkan oleh pelbagai faktor, meskipun dengan kadar sewa yang dibayar itu mereka sebenarnya mampu memiliki rumah sendiri.

 

Tidak dilupakan, kurangnya kesedaran tentang kepentingan pelaburan hartanah juga menyumbang kepada penangguhan pembelian rumah dalam kalangan anak muda.

 

Mereka mungkin tidak memahami potensi pertumbuhan nilai hartanah dan manfaat jangka panjang yang boleh diperoleh daripada memiliki rumah dan akhirnya mereka kurang termotivasi untuk melabur dalam hartanah.

 

Anak muda harus mengetahui realiti pelaburan hartanah di usia muda sebenarnya memberi impak positif kepada mereka kerana boleh memanjangkan tempoh pinjaman 20 hingga 30 tahun selain merendahkan komitmen bulanan supaya pertumbuhan gaji bergerak seiring dengan tanggungan kelak.

 

Mutakhir ini juga, kemunculan banyak pilihan alternatif pelaburan yang tersedia bagi anak muda selain daripada hartanah juga telah mengundang kepada permasalahan ini kian melarat.

 

Pelaburan dalam saham, matawang kripto, atau pelaburan modal ventura mungkin lebih menarik bagi mereka berbanding melabur dalam hartanah. Ini menyebabkan tumpuan mereka teralih kepada pelaburan-pelaburan tersebut berbanding daripada berfikir membeli sebuah rumah.

 

Dengan mengambil kira faktor-faktor di atas, adalah jelas bahawa anak muda hari ini menghadapi pelbagai cabaran yang menghalang mereka daripada membeli rumah.

 

 

hikayat

 

 

Bagi mengatasi isu ini, perlu ada langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dan pihak berkepentingan lain untuk menyediakan lebih banyak peluang dan sokongan kepada golongan ini agar mereka dapat memiliki rumah sendiri dalam masa yang sesuai.

 

Langkah-langkah seperti menggiatkan lagi penyediaan skim pinjaman perumahan yang lebih fleksibel, meningkatkan kestabilan pekerjaan, memberikan insentif kepada pemaju untuk membina lebih banyak rumah di atas tanah agar dapat dijual pada harga lebih rendah dan menyediakan pendidikan kewangan kepada anak muda mungkin sedikit sebanyak dapat membantu untuk mengatasi cabaran ini.

 

Dengan usaha secara kolektif, harapan untuk melihat lebih ramai anak muda memiliki rumah boleh direalisasikan. - DagangNews.com

 

Muhammad Syafi Fauzan Bin Saifuddin adalah mahasiswa Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka