Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Sept. - CGS-CIMB Research menerusi satu nota kajian memberitahu bahawa firma penyelidikan itu terkejut terhadap laporan Hong Leong Bank Berhad (HLB), antara bank yang mahu membida aset perbankan pengguna Citibank Berhad di Malaysia.
Berdasarkan pengetahuan firma itu setakat ini, penganalisisnya, Winson Ng mendedahkan HLB belum menzahirkan sebarang minat terhadap kesemua aset berkenaan.
“(Pengambilalihan aset ini) tidak akan meningkatkan perolehan sesaham (EPS), pada pendapat kami, kerana pembida yang berjaya perlu membayar premium untuk pinjaman pengguna Citibank.
“Sekiranya HLB berjaya mengambil alih aset perbankan pengguna Citibank di Malaysia, peningkatan EPS bergantung kepada kejayaannya untuk mengekalkan dan menjual silang produk atau perkhidmatan tambahan kepada pengguna individu Citibank, tetapi (risiko) kehilangan pelanggan tidak dapat dielak dalam langkah penggabungan dan pengambilalihan (M&A),” jelas Ng.
Beliau percaya pengambilalihan aset tersebut juga mungkin mendatangkan pencairan EPS daripada sebarang dana ekuiti untuk perjanjian itu.
Namun, dari sisi lain, beliau tidak melihat EPS HLB akan berlaku kecairan kerana gaya pengurusannya yang konservatif.
“Kami percaya mereka akan berdisiplin dalam berunding dan tidak akan membayar lebih untuk mengambil alih aset tersebut,” tambah Ng.
Setakat penghujung 2020, Citibank difahamkan mempunyai jumlah pinjaman pengguna mencecah RM14.8 bilion di mana meliputi gadai janji perumahan sebanyak RM7.7 bilion dan penggunaan kredit sebanyak RM5.6 bilion.
Sekiranya HLB mengambil alih kesemua aset perbankan pengguna Citibank, ini akan meningkatkan jumlah pemberian pinjamannya sebanyak 9.8%, jumlah pinjaman pengguna sebanyak 14.7% dan gadai janji perumahan sebanyak 10.2%.
CGS-CIMB ‘neutral’ terhadap pengambilalihan tersebut, sekiranya berlaku, seterusnya mengekalkan saranan ‘tambah’ saham HLB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM20.78 sesaham.
Sebelum itu, The Edge yang memetik sumber melaporkan HLB antara tiga bank yang didakwa berpotensi membida pengambilalihan aset tersebut, selain UOB Group dan Standard Chartered.
Perkara ini mula tercetus apabila Citigroup Inc mengumumkan hasratnya pada sekitar April 2021, untuk keluar daripada francais penggunanya di 13 pasaran, termasuk Malaysia.
Baca : Citigroup keluar daripada 13 pasaran, termasuk Malaysia
Bank itu difahamkan bakal mengendalikan francais perbankan pengguna di Asia dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika hanya dari Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan London.
Dalam pada itu, 12 perniagaan lain yang terjejas termasuklah francais pengguna di Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam. - DagangNews.com