KITA tidak dapat menegaskan betapa pentingnya penyata kewangan. Ia memberikan gambaran menyeluruh tentang kesejahteraan dan prestasi kewangan syarikat, menzahirkan kekuatan dan kelemahannya.
Bak kata pepatah Inggeris, the devil is in the details – perkara yang pada zahirnya nampak mudah tetapi tidaklah sebegitu mudah jika dikaji dengan teliti.
Penyata kewangan menunjukkan petanda yang boleh mendatangkan kesan buruk terhadap syarikat.
Sesetengah daripadanya mungkin berpunca daripada faktor luaran sementara yang berada di luar kawalan syarikat, manakala yang lain mungkin berkembang menjadi ancaman yang ketara jika dibiarkan begitu sahaja.
Oleh itu, sikap berhati-hati dan teliti adalah penting apabila menghadapi tanda-tanda amaran ini.
Seperti tanda amaran lalu lintas yang memberikan amaran kepada kita tentang keadaan jalan raya yang berbahaya di hadapan, penyata kewangan bertindak sebagai penunjuk awal potensi risiko di masa hadapan.
Pelabur perlu kekal berwaspada dan bersedia untuk bertindak segera apabila menemui penunjuk ini.
Berikut adalah beberapa tanda amaran biasa yang mungkin wujud dalam penyata kewangan:
1. Prestasi kewangan yang tidak konsisten
Wujudnya perkara yang tidak kena dari sudut perakaunan seperti peningkatan pendapatan tanpa pertumbuhan aliran tunai yang sepadan, pertumbuhan jualan yang konsisten sedangkan seluruh industri sedang mengalami kemerosotan atau lonjakan prestasi kewangan yang tidak dapat dijelaskan, menunjukkan potensi berlakunya penipuan.
Sementara itu, aliran menurun yang berlarutan dalam prestasi kewangan menunjukkan kelemahan asas dalam syarikat, selalunya tidak disedari oleh pelabur runcit.
Faktor seperti permintaan yang semakin berkurangan atau persaingan pasaran yang sengit boleh menyebabkan prestasi kewangan merosot.
Walaupun langkah penjimatan kos seperti penstrukturan semula atau penyusunan semula boleh mengurangkan kesan daripada kemelesetan, pemulihan yang berterusan tidak dapat dipertahan jika syarikat tidak membuat penambahbaikan di peringkat asas.
Pelabur perlu menjalankan penyelidikan secara menyeluruh, mencari prestasi kewangan yang konsisten atau penjelasan yang sah untuk prestasi kewangan yang tidak menentu.
2. Margin keuntungan yang mengecil
Disebabkan dinamik antara penawaran dan permintaan pasaran, perniagaan sering mendapati mereka tidak dapat menyalurkan peningkatan kos kepada pelanggan melalui harga jualan yang lebih tinggi, yang menyebabkan tekanan pada margin keuntungan.
Jika trend penurunan margin keuntungan ini berterusan, ia pasti akan menghakis keuntungan syarikat, sekaligus menimbulkan ancaman yang ketara kepada kesihatan kewangannya.
3. Peningkatan dalam tahap penggearan
Apabila hutang syarikat meningkat melebihi ambang optimum, misalnya seperti nisbah hutang kepada ekuiti melebihi 1, ini menandakan pergantungan terhadap pembiayaan hutang dan bukannya aliran tunai yang dijana secara dalaman.
Tambahan pula, peningkatan dalam paras hutang meningkatkan kos modal berpurata wajaran syarikat (weighted average cost of capital, WACC), sekali gus menghakis nilai semasa bersih untuk pelaburan serta melembabkan jangkaan aliran tunai dan prospek projek baharu di masa hadapan.
4. Penghutang yang semakin meningkat
Apabila jumlah penghutang sesebuah syarikat melebihi pertumbuhan jualannya, ia memberikan petanda bahawa syarikat itu perlu meningkatkan kecekapan kutipan penghutang serta mengamalkan pengurusan risiko kredit yang lebih ketat.
Usaha mengutip hutang yang tidak cekap, ditambah pula dasar kredit yang longgar adalah antara faktor utama peningkatan yang pesat dalam jumlah penghutang syarikat.
Penghutang yang semakin meningkat boleh menjejaskan rizab tunai dan mempengaruhi keupayaan syarikat untuk memenuhi obligasi jangka pendek. Jika dibiarkan, trend ini meningkatkan risiko rosot nilai atau hapus kira ke atas penghutang.
5. Tahap inventori yang tinggi
Tahap inventori yang lebih tinggi berbanding tahap optimum memberikan petanda stok berlebihan.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan terhadap stok yang bergerak perlahan atau bertukar usang seiring masa. Lebihan inventori mengikat aliran tunai kerana modal kerja dalam bentuk barang yang tidak terjual adalah tidak cair.
Selain itu, paras inventori yang meningkat akan meningkatkan kos penyimpanan secara keseluruhan. Bagaimanapun, sesetengah industri tertentu mungkin memerlukan tahap inventori yang tinggi untuk menampung corak permintaan yang turun naik atau bermusim.
6. Nisbah semasa yang rendah
Nisbah semasa yang rendah menunjukkan risiko tekanan kewangan dan keingkaran pembayaran yang lebih tinggi. Pemegang saham dan pelabur mungkin mempersoalkan keupayaan syarikat untuk memenuhi kewajipan kewangannya dalam tempoh dua belas bulan akan datang.
Oleh itu syarikat perlu mempertingkat pengurusan aliran tunai mereka. Juruaudit luar biasanya mengetengahkan permasalahan ini dalam laporan juruaudit bebas mereka, menilai daya maju kewangan syarikat berkenaan berdasarkan prinsip usaha berterusan.
7. Aliran tunai yang tidak menentu
Kita mungkin boleh menerima jika syarikat sekali-sekala mengalami aliran tunai yang negatif. Aliran tunai daripada operasi (operating cash flow, OCF) negatif yang berterusan mewujudkan risiko yang ketara serta menimbulkan keraguan terhadap kemampanan perniagaan.
Aliran tunai negatif daripada operasi yang berterusan menunjukkan syarikat tidak berupaya menjana tunai yang mencukupi daripada operasi teras bagi menampung perbelanjaan operasi harian.
Keadaan ini selalunya berpunca daripada pendapatan yang merosot atau peningkatan kos operasi. Ia menjejaskan keyakinan pelabur serta dihindari bakal pelabur.
Kesimpulan
Pelabur mesti berwaspada apabila terlihat tanda-tanda amaran ini dalam syarikat pelaburan mereka.
Analisis kritikal penyata kewangan, termasuk perbandingan data berbilang tahun dalam industri, adalah penting untuk membuat keputusan yang termaklum dan tepat pada masanya.
Pendedahan seperti minit mesyuarat dapat memberikan penjelasan dan strategi pengurusan untuk menangani isu yang timbul, sedikit sebanyak melegakan kebimbangan pemegang saham.
Pihak berkepentingan dapat mengurangkan risiko serta melindungi portfolio pelaburan mereka dengan berkesan jika mereka kekal proaktif dan sentiasa peka terhadap perkembangan semasa. - DagangNews.com