Menghadapi Fasa Endemik COVID-19:  Rakyat Perlu Bersedia | DagangNews Skip to main content

Menghadapi Fasa Endemik COVID-19:  Rakyat Perlu Bersedia

Proses sanitasi oleh petugas di kawasan awam. Gambar oleh Govind Krishnan 

 

 

Oleh KHALIJAH MOHD NOR dan SYAHRINA HAYATI MD JANI

 

 

SEJAK kes COVID-19 yang pertama melanda Malaysia pada 25 Januari 2020 yang lalu, kes ini telah membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura. 

 

Wabak  yang melanda telah mendapat tindak balas dan kesiapsiagaan yang telah diketuai oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Majlis Pemulihan Negara yang terus diterajuinya sekarang.

 

Ekoran daripada peningkatan jumlah kes  yang mendadak pada bulan Mac 2020, kerajaan Malaysia pimpinan Tan Sri Muhyiddin telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac 2020 di seluruh negara.  Bermulalah era pandemik COVID-19 yang melanda negara dan telah berlanjutan sehingga kini.

 

Setakat 3 September 2021, peratusan populasi dewasa yang menerima suntikan vaksin bagi kedua-dua dos telah meningkat sehingga 66.7%.  Oleh itu, Malaysia kini sedang membentuk imuniti kelompok sebagai perlindungan daripada jangkitan penyakit tersebut. 

 

Dengan peningkatan pemberian dos kedua, Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin mengumumkan Malaysia bakal memasuki fasa endemik bermula hujung Oktober ini.  

 

Apakah yang dimaksudkan dengan endemik ini? 

Endemik ialah wabak penyakit yang sentiasa wujud di dalam masyarakat.  Fasa endemik memberi maksud kes penyakit COVID-19 akan sentiasa berada di sekeliling kita tapi pada kadar yang stabil dan rendah.

 

Peralihan fasa ini akan bermula apabila 80% populasi dewasa lengkap mendapat dua dos vaksin.  Rakyat Malaysia dinasihatkan dan digalakkan untuk mengambil suntikan vaksin bagi membentuk antibodi yang berfungsi melawan penyakit ini. 

 

Dengan adanya pengambilan vaksin, mereka yang terkena jangkitan sekurang-kurangnya mengalami keterukan yang tidak sampai ke tahap serius iaitu pada tahap 4 atau 5 jangkitan. 

 

Hakikatnya, mulai saat ini kita akan hidup bersama virus yang menuntut agar kita sentiasa menjaga dan mengutamakan kawalan kendiri yang ketat walau di mana sahaja berada.

 

Langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) haruslah diamalkan secara berterusan dan tidak harus dipandang remeh. 

 

Usaha ini penting agar dapat mengurangkan risiko jangkitan sekaligus menjamin kesejahteraan kesihatan yang tinggi dalam kalangan masyarakat. 

 

Norma baharu yang diperkenalkan dan masih diamalkan ialah pemakaian pelitup muka.  Oleh itu, sentiasa memakai pelitup muka di mana sahaja berada untuk mengelakkan jangkitan secara sentuhan mahupun secara sporadik. 

 

Seterusnya, amatlah penting untuk membasuh tangan secara kerap dengan menggunakan sabun. 

 

 

sanitezer
AMALKAN bersih tangan dengan cecair pembasmi kuman. - Gambar Kelly Sikkema 

 

 

Selain itu, harus sentiasa peka untuk menggunakan “hand sanitizer” semasa memasuki ruang perniagaan atau pulang ke rumah selepas  bekerja. 

 

Di samping itu, sentiasa patuh dalam kebiasaan baharu dengan menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter. 

 

Norma baharu yang perlu diamalkan seperti tidak bercakap secara berdekatan dan tidak bersalam haruslah dititikberatkan untuk mencegah penularan wabak COVID-19. 

 

Walau bagaimanapun, golongan yang berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) perlu dilindungi, dan segera menjalani pemeriksaan kesihatan apabila didapati bergejala.  Sedikit kealpaan akan membawa akibat risiko jangkitan yang sekaligus akan meningkatkan kes COVID-19 di negara kita.

 

Selain itu, dengan penawaran harga siling bagi kit ujian kendiri COVID-19 iaitu RM19.90 membolehkan dan menggalakkan orang ramai untuk melakukan ujian saringan pada bila-bila masa sahaja. 

 

Dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat ketika ini, amatlah penting bagi setiap individu untuk melakukan ujian saringan secara berkala untuk memastikan mereka berada dalam kesihatan yang optimum.  Langkah awal dapat diambil jika dikesan terdapat virus di dalam badan. 

 

Jika rakyat Malaysia mengamalkan SOP COVID-19 dengan baik, pengurangan kes pasti akan berlaku dengan berkesan. 

 

Ini akan membantu barisan hadapan yang selama ini telah berkorban dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada kita semua.  Bantulah barisan hadapan kita  dengan mengamalkan norma baharu yang telah ditetapkan. 

 

Fasa endemik yang akan kita hadapi harus kita pagari dengan benteng SOP yang ketat walaupun virus berada di samping kita, ianya dapat dihindari jika seseorang individu itu mengambil langkah-langkah yang telah ditetapkan demi kesejahteraan hidup bersama.

 

Khalijah Mohd Nor dan Syahrina Hayati Md Jani adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka