WASHINGTON 6 Sept - Amerika Syarikat mengumumkan kawalan eksport yang lebih ketat ke atas teknologi kritikal seperti pengkomputeran kuantum dan barangan pembuatan semikonduktor, menyasarkan akses oleh negara musuhnya seperti China.
Jabatan Perdagangan AS berkata ia sedang melaksanakan sekatan eksport di seluruh dunia ke atas jenis item tertentu seperti komputer kuantum dan mesin yang diperlukan untuk membuat peranti semikonduktor termaju -- dengan pengecualian dibuat untuk negara yang mempunyai langkah serupa seperti Jepun.
"Memandangkan teknologi kritikal dengan aplikasi ketenteraan terus muncul dan berkembang, terdapat peningkatan keperluan bagi mengawal pergerakan mereka untuk memastikan item ini tidak digunakan bagi tujuan yang bertentangan dengan keselamatan negara atau dasar luar AS," kata Jabatan Perdagangan dalam satu kenyataan pada Khamis.
Washington dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah mengenakan sekatan ke atas eksport cip termaju ke China, termasuk yang digunakan dalam pembangunan kecerdasan buatan.
Pada Ogos tahun lalu, Presiden Joe Biden mengeluarkan perintah eksekutif yang bertujuan untuk menyekat pelaburan AS dalam bidang teknologi tinggi yang sensitif di China, seperti pengkomputeran kuantum.
"Menjajarkan kawalan kami ke atas kuantum dan teknologi canggih lain menjadikannya lebih sukar bagi musuh kami untuk membangunkan dan menggunakan teknologi ini dengan cara yang mengancam keselamatan kolektif kami," kata Alan Estevez, Timbalan Setiausaha Biro Industri dan Keselamatan Jabatan Perdagangan.
Menurut jabatan itu lagi, beberapa negara yang berfikiran sama telah pun mengumumkan atau melaksanakan kawalan nasional baharu untuk eksport yang berkaitan dengan pengkomputeran kuantum dan pembuatan semikonduktor termaju, dan ia menjangkakan lebih banyak lagi akan menyusul tidak lama lagi.
Terdapat tempoh ulasan awam selama 60 hari sebelum kerajaan mengeluarkan peraturan muktamad.
Barangan lain yang terjejas oleh peraturan terkini termasuk teknologi yang membangunkan cip pengkomputeran berprestasi tinggi yang boleh digunakan dalam superkomputer.
Teknologi seperti semikonduktor telah menjadi isu antara Amerika Syarikat dan China, yang terkunci dalam perbalahan mengenai akses kepada teknologi dan bekalan pembuatan cip.
Belanda dan Jepun sebelum ini telah menyertai Amerika Syarikat dalam mengenakan sekatan eksport tertentu ke atas peralatan pembuatan cip termaju yang bertujuan menghalang China daripada memperoleh input sensitif yang boleh digunakan dalam senjata dan teknologi canggih seperti AI.
Ditanya mengenai langkah baharu Washington pada hari ini, Kementerian Luar China berkata ia "secara konsisten menentang usaha mempolitikkan dan menjadikan perdagangan dan teknologi sebagai senjata oleh Amerika Syarikat."
"Mendirikan halangan buatan melanggar prinsip ekonomi pasaran dan mengganggu rantaian industri dan bekalan global," kata jurucakap kementerian luar Mao Ning pada sidang akhbar di Beijing.
"Ini tidak sejajar dengan kepentingan mana-mana pihak."
bur-pfc/oho/sw
© Agence France-Presse