Menjelang mesyuarat BNM, ringgit dibuka rendah | DagangNews Skip to main content

Menjelang mesyuarat BNM, ringgit dibuka rendah

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Ringgit dibuka sedikit rendah pagi ini pada RM4.1170/1220 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Semalam, mata wang tempatan itu mengukuh kepada RM4.1150/1200 daripada penutupan Selasa, RM4.1200/1260.

 

HLIB Research berkata, ringgit yang ditutup tinggi semalam adalah sejajar dengan jangkaannya bahawa mata wang tempatan itu akan stabil menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini. 

 

Katanya, trend itu dijangka berterusan dalam sesi dagangan hari ini memandangkan mesyuarat itu dijadualkan pada tengah hari. 

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan julat dagangan ringgit antara RM4.10 higgan RM4.14 berbanding dolar AS.

 

"BNM dijangka mengekalkan pendirian neutralnya dalam mesyuarat itu," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut firma itu, pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) dijangka memberi impak yang minimum kepada pertumbuhan memandangkan hampir kebanyakan sektor dibenarkan beroperasi. 

 

Kerajaan menguatkuasakan PKP 3.0 di 6 daerah di Selangor mulai 6 hingga 17 Mei manakala Kuala Lumpur bermula 7 hingga 20 Mei serta beberapa daerah di negeri.

 

Dalam kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri semalam, semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi termasuk sektor perkilangan terus beroperasi di 6 daerah di Selangor kecuali aktiviti dine-in di restoran. - DagangNews.com