KUALA LUMPUR 24 Okt - Berikutan sambutan hangat daripada penggemar setianya, KFC membawa kembali menu ikonik Zinger Double Down, menerusi kerjasama KFC x Buldak.
Restoran makanan segera itu turut memperkenalkan Samyang Buldak Double Down dan Samyang Buldak Cheezilla, yang merupakan ciptaan berkonsepkan tempatan yang pasti akan membakar selera.
Zinger Double Down, terkenal dengan konsep 'semua daging, tanpa roti', dihasilkan semula dengan rasa 'berapi-api' Samyang Buldak.
Samyang Buldak Double Down menambah 'haba' dengan mi bersalut Samyang dan sos Buldak yang unik mencipta pengalaman inovatif terdiri daripada pelbagai rasa dan tekstur semuanya dalam satu gigitan.
Bagi mereka yang mengidamkan lapisan tambahan, Samyang Buldak Cheezilla adalah gabungan keju yang sempurna dan rempah ratus yang menampilkan fillet Zinger rangup yang disaluti dengan sos Buldak dan keju mozarella.
Ketua Pegawai Pemasaran KFC Malaysia, Premnath Unnikrishnan berkata, Zinger Double Down sentiasa menjadi kegemaran peminat, dan pihaknya teruja untuk membawanya kembali.
"Gabungan dengan Samyang Buldak menambah tahap rempah dan keseronokan yang baharu. Gandingan serba baharu ini pasti memberi pelanggan pengalaman makan yang menarik," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. - DagangNews.com