Menyokong pemulihan ekonomi jadi keutamaan 2021 - SC | DagangNews Skip to main content

Menyokong pemulihan ekonomi jadi keutamaan 2021 - SC

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjadikan usaha menyokong pemulihan ekonomi negara sebagai keutamaan pihaknya tahun ini.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Syed Zaid Albar berkata, pihaknya akan meneruskan visi 3A untuk pasaran modal iaitu Pasaran modal yang cekap, mudah diakses dan bertanggungjawab (3A) untuk menyokong pemulihan dan transformasi ekonomi Malaysia.

 

"Ketika ekonomi dan syarikat di Malaysia meneruskan momentum pemulihan mereka, SC akan memberi tumpuan untuk memastikan lebih banyak perniagaan termasuk PMKS dan Syarikat Peringkat Pertengahan (Mid-Tier) dapat mengumpulkan dana melalui pasaran modal.

 

"Ia sejajar dengan fokus kerajaan untuk membangunkan syarikat pertumbuhan tinggi dalam ekonomi hijau dan digital.

 

"Pembangunan digital akan terus menjadi agenda utama industri, ia menjadi satu bidang keutamaan SC. Ini akan memerlukan penyelarasan pengantaraan yang lebih inovatif dalam pasaran modal, dan memberi lebih tumpuan kepada keupayaan industri
untuk menguruskan risiko teknologi, termasuk risiko siber," jelas beliau.

 

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat Laporan Tahunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) 2020 yang dijalankan secara maya hari ini.

 

Syed Zaid Albar
Syed Zaid Albar.

 

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Pengawasan Pasaran & Korporat SC, Kamarudin Hashim; Ketua Pegawai Pengawalseliaan SC, Foo Lee Mei dan Timbalan Ketua Eksekutif SC, Zainal Izlan Zainal Abidin.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan memperkukuhkan keupayaan kawal selia dalam pemantauan risiko selain memastikan penggunaan teknologi dan pembelajaran mesin dalam fungsi pengawalseliaan pihaknya daripada pengawasan kepada penguatkuasaan.

 

Katanya, SC juga akan memberi keutamaan kepada pertumbuhan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) serta akan terus memanfaatkan pasaran modal Islam untuk memacu SRI seiring dengan peningkatan fokus terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

 

"SC akan membangunkan Prinsip Panduan Taksonomi SRI untuk pasaran Malaysia – tonggak utama agenda kemampanan negara oleh Kerajaan untuk membawa Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

 

"Menyedari peranan pentingnya dalam menyokong usaha pemulihan ekonomi dan transformasi negara ke hadapan, SC akan melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) pada separuh kedua tahun ini. 

 

"CMP3 menggariskan pendekatan dan inisiatif pembangunan dan pengawalseliaan untuk tempoh lima tahun akan datang, untuk membangunkan pasaran modal yang relevan, cekap dan pelbagai untuk masa hadapan," ujar beliau lagi. - DagangNews.com