Meraikan Hari Malaysia secara Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

Meraikan Hari Malaysia secara Keluarga Malaysia

oleh ROSLAN RUSLY

KELUARGA MALAYSIA adalah satu pendekatan gagasan atau pun konsep yang dibawa dalam pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ia juga sebagai satu semangat yang baharu untuk kita bangkit dan pulih setelah negara kita dilanda kemelut politik dan juga krisis kesihatan dan ekonomi dalam mendepani pasca pandemik dan memasuki endemik COVID-19.

 

Di saat kita semua diuji dengan perihal krisis kesihatan dan kemurungan ekonomi, Keluarga Malaysia mungkin boleh dianggap sebagai satu jalan keluar yang boleh dijadikan untuk langkah-langkah pemulihan negara untuk kita sama-sama pulih dari krisis yang melanda yang kita hadapi.

 

Kita melihat bagaimana konsep Keluarga Malaysia ini merentasi kepelbagaian bangsa serta silang budaya dalam mewujudkan keharmonian dalam mendepani beberapa kemelut yang melanda.

 
 

PM

 


Keluarga Malaysia ini merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Malaysia adalah sebuah negara yang unik yang mempunyai pelbagai kaum dan bangsa serta pelbagai anutan Agama dan yang cantik dan indahnya kita boleh hidup secara harmoni serta saling hormat-menghormati.

 

Kemajmukan masyarakat dapat dilihat apabila berlakunya perkahwinan dan interaksi antara kaum dan bangsa sejak dahulu lagi yang mendasari akar kekuatan rakyat Malaysia.

 

Atas sebab itu, ia boleh diambil sebagai satu lambang keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga jika dikecilkan skopnya.

 

 

PM


 

Sejahtera

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ini digubal pada 1988 oleh pakar-pakar dalam bidang pendidikan.  Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

 

Usaha ini adalah bagi melahirkan warga negara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

 

Dalam keharmonian, kesejahteraan juga perlu diterapkan dengan nilai-nilai yang dan amalan yang baik. Konsep Sejahtera ataupun “Sejahtera” itu merujuk kepada gaya kehidupan yang lestari, mengadaptasi nilai- nilai murni dalam amalan kehidupan seharian serta mengubah sikap dan tingkah laku manusia. Tujuannya hanya satu iaitu untuk mencapai kesejahteraan dalam segala aspek.

 

Sejahtera juga ialah perjalanan kesejahteraan masyarakat yang diinginkan dengan kerjasama semua pihak untuk mencapai masyarakat yang berteraskan gaya hidup lestari. Jadinya jika sejak dibangku sekolah lagi pelajar tidak mempunyai daya berketerampilan dengan baik, bagaimana untuk mencapai kesejahteraan diri yang mana mereka adalah pelapis dan harapan kepimpinan negara pada masa hadapan.


 

parafrasa

 


Keluarga Malaysia Sejahtera

Selain itu juga, konsep Keluarga Malaysia ini boleh diterjemahkan dalam konsep kesejahteraan. Jika kita perkecilkan skop konsep dalam sebuah kekeluargaan, sememangnya kita mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia dan sejahtera.

 

Walaupun bermacam warna yang ada dalam sesebuah keluarga, namun keharmonian dan kesejahteraan adalah menjadi asas kepada sesebuah institusi kekeluargaan.

 

Keluarga tujuan asasnya adalah mewujudkan kesejahteraan. Jalinan dan ikatan keluarga menterjemahkan sebuah kesejahteraan kerana pelbagai faktor yang menyumbang kepada kesejahteraan dalam sesebuah keluarga antaranya pegangan agama, adat resam dan kepercayaan.

 

Jadi sekiranya sesebuah institusi keluarga itu sejahtera, maka sumbangannya pada juga membantu pembangunan negara.

 

Secara besarnya pendekatan keluarga Malaysia adalah amat tepat pada waktunya di mana kini, kita seluruh rakyat Malaysia bersama-sama merentasi perbezaan kaum, bangsa dan agama. Termasuk juga para pemain politik, mereka kini perlu bersama membantu rakyat untuk bangkit dan memulihkan negara kita tidak kira dari parti politik mana pun.

 

Amanah serta khidmat bakti mereka amat diperlukan dan bukan hanya retorik semata-mata.

 

#KitaJagaKita masih relevan

Tahun 2020 dan 2021 seluruh dunia dan termasuk negara kita menghadapi serangan COVID-19 dengan pelbagai varian yang menyerang. Ayah ibu, adik- beradik, saudara-mara, jiran tetangga serta sahabat taulan menjadi mangsa serangan Covid19 sehingga ke hari ini.

 

Sejak Mac 2020, #KitaJagaKita dibina oleh warga Malaysia. Kita jaga kita diterjemahkan apabila kita seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menjaga keluarga kita, diri kita serta jiran tetangga dan seluruh masyarakat kita. 

 

Melihat kesusahan dan kesukaran hidup sewaktu pandemik, kita jaga kita dijadikan semangat buat rakyat Malaysia untuk membantu mereka yang terkesan.


 

parafrasa

 


Sokongan komuniti setempat, jiran tetangga serta organisasi bukan kerajaan(NGO) sama-sama membantu tanpa mengira fahaman, kaum, bangsa dan agama.

 

Semua adalah satu keluarga yang membantu supaya tiada seorang pun tertinggal dalam mendapatkan bantuan.

 

Bantuan yang diberikan bukan sahaja dari segi bentuk bantuan fizikal seperti barangan keperluan akan tetapi sokongan dan dorongan dari segi mental adalah amat penting supaya rakyat negara ini sejahtera dan di dalam keadaan harmoni.

 

Dengan kesejahteraan mental ia akan mencapai kekuatan mental dan rohani dalam masa yang sama ia dapat menyumbang kepada mensejahterakan Keluarga Malaysia apabila kesejahteraan itu sendiri dibawa oleh rakyat sendiri.

 

Ketika negara kita sudah mula beralih ke fasa Endemik. Tahun 2022 #KitaJagaKita masih lagi relevan untuk rakyat Malaysia, kita dapat lihat semangat kebersamaan itu bukan hanya muncul sewaktu pandemik, malah jika negara kita dilanda musibah seperti banjir besar pun kita turut bersama membantu tidak kira bangsa dan agama.

 

Sikap dan semangat bantu-membantu dan keprihatinan sesama kita meneruskan lagi ikatan dan kekuatan #KitaJagaKita.


 

parafrasa

 


Kita perlukan ramai lagi semangat seperti “Abang Viva”. Dengan semangat tersebut ukhuwah dan kebersamaan kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang sejahtera akan terus utuh demi kesejahteraan bersama.

 

Bersempena dengan semangat kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September, apa yang diharapkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia akan terus kekal agar kita sama-sama meneruskan semangat #KitaJagaKita yang dahulu sewaktu kita sama-sama tempuh tanpa mengira perbezaan kaum dan agama. – DagangNews.com

 

 

Roslan Rusly adalah Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)