Mercedes-Benz meterai MoU dengan Montfort Boys kukuhkan Perantisan Moden Lanjutan | DagangNews Skip to main content

Mercedes-Benz meterai MoU dengan Montfort Boys kukuhkan Perantisan Moden Lanjutan

KUALA LUMPUR 21 Sept - Mercedes-Benz Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Montfort Boys Town, Shah Alam untuk mengukuhkan lagi tunggak pendidikan dan komitmennya melalui pengambilan dan inkubasi pelajar menengah untuk program Advanced Modern Apprenticeship (Perantisan Moden Lanjutan) yang terkenal di peringkat global.

 

MoU dua tahun itu dimulakan dengan aktiviti seperti 'Train the Trainer' di mana Mercedes-Benz Malaysia akan menyediakan latihan kemahiran teknikal dan kepakaran mengenai model Mercedes-Benz semasa kepada jurulatih Montfort Boys Town yang kemudiannya akan memindahkan pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar.

 

Kurikulum latihan ini bertujuan untuk mendedahkan dan menyediakan pelajar yang berminat kepada program Perantisan Moden Lanjutan yang tersedia selepas tamat sekolah menengah mereka.

 

Penilaian pra-pendaftaran tahunan akan dijalankan untuk pelajar Montfort Boys Town di mana mereka yang berjaya lulus akan boleh memohon untuk program Advanced Modern Apprenticeship.

 

 

Sagree Sardien
                                                               Sagree Sardien

 


Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia & Ketua Wilayah, Asia Tenggara II, Sagree Sardien berkata, Mercedes-Benz Malaysia komited terhadap pembangunan tenaga kerja masa depan dan syarikat mahu memupuk, membangun dan menarik bakat pada usia awal.

 

Katanya, kerjasama ini akan mendedahkan pelajar kepada kecekapan sosial dan organisasi yang akan memacu kecemerlangan perkhidmatan mengikut cara Mercedes-Benz.

 

"Sebagai sebahagian daripada tonggak pendidikan kami, kami melihat peluang yang baik untuk memupuk dan melabur dalam bakat muda ini yang bercita-cita untuk mempunyai kerjaya dalam industri automotif sebagai juruteknik bertauliah global,” katanya.

 

Pengarah Montfort Boys Town, Robin Devasagayam berkata, Montfort Boys Town berbesar hati dan bertuah untuk menjadi sebahagian daripada program ini bersama Mercedes-Benz Malaysia.

 

"Kami amat percaya bahawa kurikulum latihan baharu ini akan menambah kedalaman dan meluaskan ufuk pelajar kami sambil mereka membuka kerjaya masa depan mereka," ujar beliau.


 

montfort

 

Pelajar yang berjaya mendaftar dalam program Perantisan Moden Lanjutan akan menerima biasiswa penuh dan menjadi pelatih sepenuh masa di bawah Mercedes-Benz Malaysia.

 

Mereka akan menerima elaun bulanan RM800 sepanjang program tiga tahun dan dijamin mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian dengan gaji minimum pada tahun pertama.

 

Graduan juga akan mempunyai lebih banyak peluang selepas itu dengan Mercedes-Benz di mana mereka boleh maju ke jawatan pengurusan dalam jabatan perkhidmatan pelanggan selepas menamatkan kelayakan tahap diagnostik mereka.

 

Turut diadakan pada majlis itu ialah Pengijazahan Program Perantisan Moden Lanjutan bagi kelas 2021 dan 2022 di mana seramai 99 pelatih telah menamatkan latihan mereka dan kini menjadi juruteknik bertauliah global.

 

Anugerah Pelajar Terbaik telah disampaikan kepada dua orang pelajar Muhammad Syakir Badri Bin MD Nizam bagi tahun 2021 dan Nur Feazah Binti Fuaad bagi tahun 2022 yang cemerlang dalam setiap aspek sepanjang kursus tiga tahun yang merangkumi ketepatan masa, kecekapan kerja, penggunaan alatan yang betul, pengetahuan, kesedaran keselamatan, tingkah laku, kemahiran interpersonal, sikap kerja dan tanggungjawab dalam tahun masing-masing.

 

Program Advanced Modern Apprenticeship oleh Mercedes-Benz Malaysia Training Academy ialah kursus perantisan selama tiga tahun yang merangkumi pelbagai sukatan pelajaran dan garis panduan latihan yang diluluskan secara global oleh Mercedes-Benz Global Training dengan elemen Kecekapan Mercedes-Benz.

 

Program ini menggabungkan Kelayakan Antarabangsa sehingga Tahap 3 dan diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.


 

montfort

 


Sebagai sebahagian daripada strategi jenama dan hala tuju global untuk menerajui dalam bidang elektrik, Mercedes-Benz telah membangunkan profil baharu untuk Pakar Kenderaan Elektrik, dikenali sebagai Pakar dalam Voltan Tinggi (EHV) yang akan diperkenalkan bermula dengan pengambilan 2022.

 

Sukatan pelajaran baharu ini akan ditambah pada modul sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha jenama untuk melatih dan melengkapkan bakat agar bersedia masa depan bagi tuntutan mobiliti masa depan.

 

Sejak 1984, lebih daripada 900 perantis lulus dari Akademi Latihan Mercedes-Benz Malaysia dan bekerja dengan rangkaian pengedar sah jenama itu dalam pelbagai jawatan merentasi pengkhususan yang berbeza. - DagangNews.com