Mercury Securities lancar Mercury Gold bagi menarik minat orang ramai melabur dalam emas | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities lancar Mercury Gold bagi menarik minat orang ramai melabur dalam emas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Feb - Mercury Securities Group Bhd melancarkan Mercury Gold bagi menarik minat orang ramai untuk mengambil bahagian dalam pelaburan emas.

 

Mercury Gold menawarkan jongkong fizikal untuk pembelian serta Mercury Bullion Savings (MBS) iaitu program yang membolehkan pelanggan membeli, menjual dan mengumpul jongkong mengikut gram. 

 

Melalui MBS, pelanggan boleh membeli serendah RM50 emas bagi setiap transaksi dan semua pegangan pelanggan disokong sepenuhnya oleh jongkong fizikal. 

 

Mereka yang terlibat dengan MBS boleh menjual pegangan jongkong mereka pada bila-bila masa atau menukar pegangan kepada bar emas atau perak tanpa dikenakan yuran penukaran, apabila mencapai ambang simpanan.

 

Mercury Securities berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga emas meningkat dengan ketara dan lebih ramai orang melihat emas sebagai tempat selamat untuk menyimpan.

 

emas

 

Apabila permintaan meningkat, pihaknya ingin menyediakan rakyat Malaysia dengan platform yang telus dan selamat untuk membeli, menjual dan menyimpan logam berharga bagi mempelbagaikan pelaburan mereka. 

 

"Fleksibiliti untuk melabur dalam jongkong fizikal atau dalam Simpanan Mercury Bullion, mengumpul gram emas atau perak dari semasa ke semasa, akan membolehkan semua orang mengambil bahagian dalam pasaran itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mercury Gold Bullion diperoleh daripada lombong global terkenal PAMP Suisse dan lombong-lombong dari Amerika Syarikat, Kanada dan Australia. 

 

Kesemuanya diperakui oleh London Bullion Market Association (LBMA), pihak berkuasa global untuk logam berharga. Bar jongkong individu dalam pelbagai saiz dan syiling tender sah yang dikeluarkan kerajaan tersedia untuk dijual. - DagangNews.com