Mercury Securities mulakan liputan terhadap Pentamaster dengan saranan 'beli', TP RM4.68 | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities mulakan liputan terhadap Pentamaster dengan saranan 'beli', TP RM4.68

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Julai - Mercury Securities memulakan liputan terhadap Pentamaster Corporation dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM4.68.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu memiliki pelan perkembangan yang menarik selain rekod perkhidmatan yang cemerlang dan harga sasaran yang ditetapkan itu mewakili potensi pulangan 30% daripada harga semasa.

 

Katanya, Pentamaster menyediakan perkhidmatan dalam pelbagai industri seperti elektro-optik, automotif, produk pengguna dan industri, semikonduktor dan industri peranti perubatan.

 

Firma itu berkata, pengambilalihan TP Concept pada FY19 menyaksikan kumpulan itu terlibat dalam bidang pembuatan barangan perubatan dan pada masa sama sedang membina kilang ketiga di Batu Kawan, Pulau Pinang yang bersaiz tiga kali lebih besar berbanding kilang sedia ada yang dijangka siap pada 1H24.

 

"Kami menjangkakan apabila kilang ketiga itu siap pada FY24, syarikat itu berada dalam kedudukan terbaik untuk mengembangkan segmen perubatan dan mencapai pendapatan RM1 bilion menjelang FY25.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu akan berdepan beberapa cabaran seperti kenaikan harga barang dan kekurangan tenaga pekerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga memiliki tempahan sebanyak RM500 juta yang akan diiktiraf sepenuhnya antara 4QFY22 dan 1QFY23.

 

Katanya, menerusi kepemimpinan Pengerusinya, Chuah Choon Bin yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam reka bentuk dan pembuatan peralatan dan penglihatan automasi sistem pemeriksaan, syarikat itu mampu mencapai rekod pendapatan pada FY21 dan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) hasil lima tahun sebanyak 29.1% dari FY16 hingga FY21.

 

"Selain berjaya menempatkan diri di 14 negara, kumpulan itu juga merancang untuk meluaskan jejaknya ke beberapa bahagian di China selain menembusi pasaran automotif utama di Jepun dan Jerman pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com