Mercury Securities saran 'langgan' saham Kawan Renergy, FV 35 sen | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities saran 'langgan' saham Kawan Renergy, FV 35 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Mercury Securities memberikan saranan 'langgan' terhadap penyedia rumusan kejuruteraan, Kawan Renergy Holdings Bhd dengan harga wajar (FV) 35 sen sesaham.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu dinilai dengan pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 13 kali, diterjemahkan kepada kenaikan harga 17% kepada harga tawaran awam permulaan (IPO).

 

Katanya, sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 13 kali adalah sejajar dengan penilaian purata rakan setaranya. 

 

"Kami percaya saham itu boleh dinilai semula dalam tempoh terdekat disokong oleh kemenangan buku pesanan yang lebih kukuh untuk perniagaan kejuruteraan utamanya dan kejayaan membida loji biojisim 2MW baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Mercury Securites berkata, sejak FY22, segmen hasil baharu yang memberi fokus kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) dan projek loji penjanaan bersama menyumbang kepada pertumbuhan kumpulan, menyumbang antara 22% hingga 30% daripada jumlah jualan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan Renergy sasar kumpul RM33 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Katanya, sehingga Mac 2024, buku pesanannya yang belum dibilkan berjumlah RM72.9 juta yang mana RM51.8 juta dijangka diiktiraf pada FY24.

 

"Penambahbaikan margin untuk segmen RE dijangka membantu kumpulan itu mencapai margin kasar campuran sekitar 20% daripada ramalan kami untuk FY24-FY26," katanya.

 

Pelaksanaan IPO Kawan Renergy merangkumi terbitan awam 110 juta saham biasa baharu, mewakili 20% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 34.5 juta saham sedia ada, atau 6.3% daripada modal saham yang diperbesarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Daripada 110 juta saham baharu, 27.5 juta akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian.

 

Sejumlah 19.3 juta saham lain diperuntukkan untuk pengarah dan pekerja yang layak serta mereka yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan (peruntukan borang merah jambu), manakala baki 63.2 juta saham dikhaskan untuk pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Kawan Renergy menyasarkan untuk mengumpul RM33 juta daripada IPO.- DagangNews.com