Mercury Securities saran 'langgan' saham Sik Cheong, FV 33 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities saran 'langgan' saham Sik Cheong, FV 33 sen sesaham

Sik Cheong bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada 13 Ogos 2024. -Gambar Sik Cheong Bhd
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 31 Julai - Mercury Securities Research beri saranan langgan kepada pengeluar minyak masak, Sik Cheong Bhd (Sik Cheong) yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 13 Ogos 2024 dengan harga wajar 33 sen sesaham.

 

Saranan itu adalah berdasarkan 10x pendapatan sesaham (EPS) FY26 yang mencadangkan potensi peningkatan sebanyak 24% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).

 

Katanya, nisbah harga kepada pendapatan (PE) adalah pada diskaun 30% berbanding penilaian purata pesaing yang setara, memandangkan penguasaan pasaran Sik Cheong yang lebih kecil.

 

"Kami menyukai saham ini kerana rekod prestasi yang terbukti, rancangan pengembangan strategik, dan penyata kewangan yang sihat dengan margin yang semakin berkembang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Sik Cheong telah mencatatkan pertumbuhan hasil tahunan yang mengagumkan sebanyak 23.2% dalam tempoh 3 tahun, meningkat daripada RM43 juta pada FY21 kepada RM78 juta pada FY24. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sik Cheong sasar kumpul RM17.8 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi pengembangan produk

 

SIK
Sik Cheong merancang mempelbagaikan produk minyak masak yang kini hanya sawit. 

 

Kata Mercury Securities, pertumbuhan ini boleh dikaitkan dengan kemampuan syarikat untuk mendapatkan jualan daripada lebih daripada 500 pelanggan tahunan. 

 

"Apa yang mengagumkan, 90% daripada pelanggan mereka adalah pelanggan berulang, menunjukkan kebolehpercayaan Sik Cheong sebagai pengedar produk minyak sawit RBD di Malaysia. 

 

"Syarikat ini juga telah membina hubungan jangka panjang dengan pembekal utama, dengan tiga daripada empat mempunyai hubungan lebih daripada 10 tahun," jelasnya.

 

Kata firma itu, Sik Cheong yang kini menawarkan olei n minyak sawit RBD sebagai produk tunggalnya sedang mempertimbangkan untuk turut mengedarkan minyak kacang soya.

 

Menurutnya, produk baharu itu berpotensi disebabkan beberapa sebab termasuk persaingan yang kurang dalam pasaran; pilihan yang kos efektif dan peluang penjualan silang dari permintaan pelanggan sedia ada selain menjadi minyak masak kedua paling banyak permintaan di Malaysia.

 

Tambah Mercury Securiies, pengurusan juga telah mengawal kos pengeluaran dengan berkesan dengan memindahkan kos yang meningkat kepada pelanggan melalui harga jualan yang lebih tinggi dan melaksanakan langkah-langkah pengoptimuman kos. 

 

"Penurunan kecil dalam margin FY25 dijangka disebabkan oleh perbelanjaan IPO sekali sahaja, tetapi penambahbaikan dijangka pada FY26-27 akibat kesan positif daripada peningkatan pengeluaran dan jualan selepas siapnya naik taraf Kilang No. 9," ujarnya. - DagangNews.com