Mercury Securities unjur pendapatan FY23 Pantech Group meningkat 20% hasil penyelenggaraan PVF | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities unjur pendapatan FY23 Pantech Group meningkat 20% hasil penyelenggaraan PVF

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jan - Mercury Securities mengunjurkan pendapatan Pantech Group Holdings Berhad meningkat 20% bagi FY23 hasil sumbangan daripada penyelenggaraan paip, injap serta kelengkapan (PVF). 

 

Firma itu berkata, kerja-kerja itu memberikan pendapatan berulang yang sangat stabil dan menyumbang kira-kira 40% hasil kepada kumpulan.

 

"Kami berpendapat lebih banyak kontrak boleh diperoleh daripada industri minyak sawit berikutan harga minyak sawit yang kukuh.

 

"Kami menjangkakan sumbangan daripada segmen ini kepada hasil kumpulan akan meningkat kepada 20% untuk FY23, naik 4% daripada FY21. 

 

"Dengan lebih daripada 30,000 unit penyimpanan stok (SKU), kumpulan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak sebanyak 70.23% kepada RM34.66 juta pada suku ketiga berakhir 30 November 2022 (3QFY22) daripada RM20.36 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan prestasi yang lebih kukuh dalam perniagaan pembuatan dan perdagangannya.

 

Hasil melonjak kepada RM299.94 juta berbanding RM209.34 juta berbanding sebelum ini.

 

Bahagian pembuatan mencatatkan hasil luaran yang lebih tinggi sebanyak RM133.33 juta (RM102.53 juta pada 3QFY22) dan segmen keuntungan sebelum cukai sebanyak RM33.67 juta (RM17.22 juta pada 3QFY22).

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 93 sen.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan risiko turun naik harga keluli dan nikel, kekurangan tenaga kerja dan aliran kontrak yang lebih perlahan daripada jangkaan," katanya. - DagangNews.com