Mestron raih kontrak bernilai RM59.99 juta daripada FSSB bagi perolehan peralatan LSS | DagangNews Skip to main content

Mestron raih kontrak bernilai RM59.99 juta daripada FSSB bagi perolehan peralatan LSS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - Mestron Holdings Berhad menerusi Mestron Engineering Sdn Bhd berjaya meraih kontrak bernilai RM59.99 juta daripada Fabulous Sunview Sdn Bhd (FSSB) bagi menjalankan perolehan peralatan dan bahan untuk solar berskala besar (LSS).

 

Menerusi kontrak baharu itu, tempahan tertunggak kumpulan itu bagi sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) berada pada paras RM71 juta.

 

Kumpulan itu terus memberi tumpuan bagi mengembangkan segmen perniagaan RE kerana mereka terlibat secara aktif dalam tender projek baharu sektor itu.

 

Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng berkata, kontrak itu menggariskan komitmen Mestron dalam mengembangkan perniagaannya dan memberikan nilai luar biasa dalam perniagaan RE melalui kepakaran kejuruteraannya.

 

"Kontrak itu adalah bukti rekod prestasi kukuh kami dalam menyampaikan kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan. 

 

"Kami kekal komited untuk mencipta rumusan mampan sejajar dengan visi kami untuk masa depan yang lebih hijau.

 

"Kumpulan ini memainkan peranan penting dalam projek LSS termasuk mendapatkan peralatan penting seperti modul fotovoltaik, struktur pelekap, penyongsang dengan stesen janakuasa voltan sederhana, sistem SCADA (Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data), kabel dan perlindungan kilat untuk membentuk sistem yang lengkap," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Selain itu, kumpulan itu juga bertanggungjawab menguruskan logistik, menjalankan ujian peralatan, memastikan penyelenggaraan dan keselamatan peralatan semasa tempoh kerja sub-kontrak dan melaksanakan pemasangan peralatan.

 

Sementara itu, Teong Eng berkata, kumpulan itu sedang membuat kemajuan yang ketara dalam komitmennya terhadap kemampanan, strategi kepelbagaian dan peningkatan nilai pemegang saham.

 

Beliau berkata, pengembangannya dalam perniagaan RE, projek LSS dan ekosistem bersepadu solar menandakan satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih mampan alam sekitar dan cekap tenaga.

 

"Dengan untung bersih RM6.6 juta pada 6MFY23, kumpulan itu yakin untuk mencapai keuntungan bersih RM10 juta bagi FY23," katanya. - DagangNews.com