Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi ditangguh, UMNO belum putuskan sertai mana-mana gabungan | DagangNews Skip to main content

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi ditangguh, UMNO belum putuskan sertai mana-mana gabungan

Datuk Seri Bung Moktar Radin - Gambar/Bernama

KUALA LUMPUR 20 Nov - Mesyuarat Biro Politik UMNO belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan parti lain untuk membentuk kerajaan atau sebaliknya.

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan akan ada beberapa sesi perbincangan selepas ini, bagi melihat senario itu.

 

“BN akan menentukan hala tuju kita. Kami akan putuskan dengan secara menang-menang. Kami belum putuskan (sebarang gabungan). Kami akan bincang lagi,” katanyadi lobi Menara Dato’ Onn, hari ini, lapor TV3.

 

Beliau juga mengesahkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang sepatutnya berjalan petang ini ditangguhkan, namun perincian mesyuarat yang ditunda itu tidak dijelaskan.

 

“Tanya Setiausaha Agung (Datuk Seri Ahmad Maslan),” katanya.

 

Ditanya mengenai desakan supaya Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur, Bung Moktar akui ia wujud, namun semua pemimpin UMNO wajar bertanggungjawab.

 

"Belum sampai ke tahap itu (desak Ahmad Zahid letak jawatan). Kami pemimpin UMNO perlu bertanggungjawab. Kalau mahu letak jawatan, semualah letak jawatan,” katanya.

 

Beliau berkata, UMNO juga perlu melalui tranformasi dalam kepimpinannya, susulan kekalan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

“Sebab itu kami perlu pragmatik dalam menentukan hala tuju. Bermakna pemimpin akan bertukar ganti. Kami akan pastikan UMNO dan BN akan terus diberi nafas baru. Kami fikir cara terbaik untuk parti ‘survive’,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, semua lima tertinggi UMNO hadir dalam mesyuarat Biro Politik UMNO tadi.

 

Bagaimanapun, beliau enggan berkongsi intipati serta keputusan dari perbincangan mesyuarat berkenaan. - DagangNews.com