Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC berlangsung secara maya | DagangNews Skip to main content

Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC berlangsung secara maya

Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM) yang dijalankan secara dalam talian Sabtu lalu. Gambar oleh Facebook APEC 2020

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Mesyuarat Proses Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM) dilangsungkan secara dalam talian.

Mesyuarat tersebut adalah platform perkongsian idea berkaitan intervensi fiskal dan kewangan bagi mengurangkan impak ekonomi berikutan pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika mempengerusikan AVFMM berkata, APEC merupakan satu landasan yang sangat baik untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi serta kewangan Asia-Pasifik, sosio-ekonomi nasional dan serantau.

"Ketika pandemik mengancam sistem kesihatan dan ekonomi di seluruh dunia, anggota ekonomi APEC bertindak dengan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengatasi impak pandemik.

"Pertemuan ini diharapkan akan mengutarakan pelbagai cadangan dan buah fikiran untuk kita terus menyokong ekonomi masing-masing dalam menangani pandemik COVID-19," jelasnya dalam ucapan pembukaan AVFMM Sabtu lalu seperti dipetik BH Online.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh menteri kewangan APEC, wakil bank pusat, pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan 2020, pengarah eksekutif APEC dan pegawai kanan kewangan anggota APEC.

APEC 2020

Turut hadir bersama ialah wakil Bank Pembangunan Asia, Bank Pembangunan Antara Amerika, Tabung Kewangan Antarabangsa, Kumpulan Bank Dunia, Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, ABAC, Unit Sokongan Dasar APEC dan Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik.

AVFMM kali ini dianjurkan dengan tema 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Kemakmuran Bersama yang Berdaya Tahan: Keterubahan, Keutamaan, Kemajuan' yang menggambarkan betapa pentingnya falsafah kemakmuran bersama.

Barisan perwakilan tertinggi daripada AVFMM turut mengeluarkan Kenyataan Bersama Menteri-Menteri dalam mesyuarat tersebut.

Kenyataan bersama itu menggariskan bagaimana APEC secara keseluruhan menangani pandemik COVID-19 melalui langkah fiskal dan kewangan yang bertujuan untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian masyarakat serta perniagaan di negara masing-masing.

Tengku Datuk Seri Zafrul ketika mempengerusikan Mesyuarat Proses Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM).
Tengku Datuk Seri Zafrul ketika mempengerusikan Mesyuarat Proses Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM) Sabtu lalu. Gambar oleh Facebook APEC 2020

 

"Kenyataan Bersama Menteri-Menteri itu membuktikan semangat kerjasama serantau antara anggota APEC serta berharap kerjasama dan komitmen tetap berterusan antara semua anggota APEC kelak.

"Saya turut mengalu-alukan New Zealand selaku Pengerusi seterusnya bagi Proses Menteri-Menteri Kewangan APEC 2021 yang akan datang. 

"Sebagai tuan rumah tahun ini, Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Proses Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan pada tahun hadapan," katanya," tambah beliau lagi. - DagangNews.com